Syarikat tempatan siap bina kapal peronda Tentera Laut Nigeria - Utusan Malaysia

Syarikat tempatan siap bina kapal peronda Tentera Laut Nigeria

KAPAL 38M Sea Eagle untuk Tentera Laut Nigeria yang berjaya disiapkan oleh syarikat pembinaan dan pembaikan kapal tempatan, Northern Shipyard bersama KN Aluminium & Engineering di Langkawi -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Syarikat pembinaan dan pembaikan kapal tempatan, Northern Shipyard Sdn. Bhd. bersama KN Aluminium & Engineering Sdn. Bhd. berjaya membina dua buah kapal peronda Tentera Laut Nigeria.

Kapal 38M Sea Eagle berkelajuan 29 knot itu merupakan aset pertahanan negara tersebut bagi tujuan meronda, mengiring, kawalan sempadan serta kegunaan misi mencari dan menyelamat (SAR).

Kejayaan itu merupakan kesinambungan kepada penghantaran empat bot peronda The Great Manta kepada Tentera Laut Nigeria yang disiapkan pada Disember 2020.

Pengurus Perhubungan Korporat Northern Shipyard, Kapten Dr. Baharin Baharom berkata, kedua-dua kapal tersebut disiapkan dalam tempoh 24 bulan selepas menerima tempahan.

“Lebih membanggakan, pembinaan kapal peronda ini menggunakan 85 orang tenaga kerja dan kepakaran anak tempatan terutama Langkawi yang membuktikan kita setanding dengan syarikat luar negara lain.

“Sebelum ini empat buah bot peronda yang telah dihantar kepada Tentera Laut Nigeria mendapat maklum balas baik daripada mereka dari segi kualiti dan hasil kerja dilakukan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kapal 38M Sea Eagle Tentera Laut Nigeria yang dirasmikan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di sini, hari ini.

Kapal menggunakan dua enjin MTU buatan Jerman yang berupaya belayar selama lima hari tanpa henti berbekalkan 42,980 liter diesel dijangka diserahkan kepada Tentera Laut Nigeria pada bulan hadapan dengan menggunakan kapal kargo ke Pelabuhan Apapa di Lagos.

Baharin berkata, kejayaan itu bukan sahaja menunjukkan keupayaan industri tempatan, malah membuktikan bahawa Malaysia mampu menghasilkan teknologi tinggi yang setaraf dengan negara-negara maju.

“Ia membuka peluang untuk kita melebarkan sayap ke negara-negara lain pula kerana Nigeria yang memiliki hampir 200 juta penduduk memilih Northern Shipyard yang berpangkalan di Langkawi dan sebagai rakyat Malaysia kita harus berbangga,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan KN Aluminium & Engineering, Khee Chee Kheong berharap kerajaan dapat memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk menawarkan kepakaran dalam pembuatan bot dan kapal bagi agensi keselamatan negara.

“Kos bagi pembelian bot atau kapal juga mungkin lebih murah kerana menggunakan kepakaran anak tempatan seperti kita siapkan Kapal 38M Sea Eagle ini yang menggunakan 99 peratus anak tempatan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) yang dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 24 Mei tahun depan sebagai platform untuk mengetengahkan lagi kepakaran dimiliki. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN