GEORGE TOWN : Polis telah memanggil seorang lelaki tempatan berhubung penularan satu rakaman video dalam media sosial iaitu melibatkan sebuah kereta yang dipandu secara melawan arus di Jalan Masjid Negeri, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an itu juga telah direkodkan keterangannya bagi membantu siasatan kes tersebut ketika ini.
Terdahulu, Razlam berkata, pihaknya terkesan dengan rakaman video berdurasi 39 saat yang dimuat naik ke dalam laman X, kira-kira pukul 3 petang semalam.
“Rakaman video tersebut memaparkan kejadian sebuah kereta dipandu secara melawan arus dan semakan mendapati, kejadian berlaku Sabtu lalu (kelmarin), kira-kira pukul 4.48 petang di Jalan Masjid Negeri.
“Susulan itu, pemandu kereta tersebut iaitu seorang lelaki tempatan telah dipanggil untuk diambil keterangan dan untuk siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Menerusi rakaman video yang tular itu, kelihatan sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna biru dipandu dalam keadaan melawan arus di kawasan jalan yang sibuk.
Bagaimanapun, tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku apabila pemandu kenderaan lain dilihat memandu perlahan dan mengelak daripada bertembung dengan kereta terbabit.
Dalam pada itu, Razlam memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Dalam hal ini, pihak polis ingin menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan rakaman video berkenaan,” katanya.-UTUSAN










