IPOH: Konglomerat Malaysia, Kumpulan Sunway menerusi Sunway Mall bakal membina sebuah pusat beli-belah terbesar di Perak, terletak di Tambun dengan kos pembangunan keseluruhan berjumlah lebih RM1 bilion.
Dinamakan sebagai Sunway Ipoh Mall, pusat beli-belah itu akan dibina bersebelahan taman rekreasi air popular di Tambun melibatkan keluasan tanah lebih 17 ekar dan dijangka siap serta dibuka pada tahun 2027.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyambut baik pembangunan tersebut kerana selari dengan pelbagai pelaburan mega yang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan ekonomi negeri itu.
“Sunway Ipoh Mall yang akan didirikan nanti bukan sahaja akan mengubah wajah Ipoh secara fizikal.
“Tetapi juga akan menggamit pertumbuhan lebih pesat bandar Sunway yang selama ini menjadi antara lokasi tumpuan, bukan sahaja penduduk tempatan, malahan pelancong dalam dan luar negara,” katanya pada majlis pecah tanah projek pembinaan pusat beli-belah itu di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Sir Dr. Jeffrey Cheah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Selain itu turut hadir ialah Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee; Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta, Arafat Varisai Mahamad dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.
Pusat beli belah itu merupakan pembangunan terbaharu di Sunway City Ipoh yang merangkumi taman tema, hospitaliti, penjagaan kesihatan, pendidikan, perumahan dan komersial yang berkeluasan 1,350 ekar.
Pusat beli-belah di Sunway City Ipoh itu akan mempunyai lebih sejuta kaki persegi kawasan sewaan bersih (NLA) meliputi empat tingkat peruncitan, gelanggang luncur ais pertama di Perak serta pawagam.
Syarikat gergasi tempatan itu juga bakal membuka hospital dengan nama Sunway Medical Centre Ipoh yang dijangka beroperasi menjelang awal tahun 2025.
Saarani berkata, kesemua pembangunan tersebut boleh menaikkan prestasi Perak yang sebelum ini dilihat ketinggalan berbanding dua negeri jiran iaitu Pulau Pinang dan Selangor.
Dalam majlis pecah tanah tersebut, Jeffrey Cheah melahirkan rasa teruja kerana dirinya sendiri merupakan anak kelahiran Perak dan masih dapat berbakti kepada negeri ini. – UTUSAN









