MUAR: Suasana pilu menyelubungi pekarangan Masjid Jamek Kampung Paya Redan, Pagoh, di sini ketika orang ramai mengiringi perjalanan akhir jenazah pasangan warga emas yang rentung dalam kebakaran rumah, Jumaat lalu.
Kira-kira 200 ahli keluarga, sanak saudara dan penduduk menanti ketibaan van membawa jenazah Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan isterinya, Ara Abd. Hamid, 76, dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
Jenazah pasangan itu disembahyangkan di masjid berkenaan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, Pagoh di sini.
Pasangan itu antara tiga sekeluarga yang maut dalam kejadian bunuh dan bakar rumah disyaki dilakukan anak sulung mereka berusia 48 tahun yang kini dalam tahanan polis.
Allahyarham dilaporkan rentung 80 peratus menyebabkan pasukan forensik sukar mengenal pasti jantina mereka.
Difahamkan, sebahagian ahli keluarga terdiri anaknya menuntut jenazah di HPSF sekitar pukul 9 pagi selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh tengah hari semalam.
Selain Mohamed Nor dan Ara, seorang cucu mereka, Noradriana Nor Hasyim, 11, turut maut dengan terdapat kesan kecederaan pada kepala dan juga muka.
Seorang lagi cucu mereka, Norazmina Mohd Radhi, 14, terselamat dan kini masih menerima rawatan di hospital sama.
Sabtu lalu, jenazah Noradriana selamat disemadikan bersebelahan pusara ibunya, Nurul Armiza yang meninggal dunia empat tahun lalu akibat kanser. – UTUSAN










