Suami isteri diperintah bela diri cedera amah - Utusan Malaysia

Suami isteri diperintah bela diri cedera amah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan memperdagangkan dan mencederakan seorang pembantu rumah Indonesia dengan menggunakan air panas, empat tahun lalu.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu ke atas peniaga besi buruk Lim Tuan Ann, 45, dan isterinya, Lim Siew Lan, 44, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pasangan itu pada akhir kes pendakwaan.

“Setelah mendengar dan membuat penilaian maksimum keterangan saksi-saksi pendakwaan, mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh, masing-masing di bawah Seksyen 12 dan Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta pertuduhan-pertuduhan di bawah Seksyen 325 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan dihadapi Siew Lan.

“Oleh itu, mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh membela diri atas pertuduhan-pertuduhan dihadapi mereka,” kata Azura.

Mengikut pertuduhan, Tuan Ann didakwa memperdagangkan mangsa yang berusia 26 tahun bagi maksud eksploitasi pengabdian di rumahnya di Taman Batu, Sentul di sini, pada 24 November 2020 dan didakwa mengikut Seksyen 12 ATIPSOM 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Siew Lan pula dituduh memperdagangkan mangsa bagi maksud eksploitasi menggunakan kekerasan di lokasi dan tarikh sama dan didakwa mengikut Seksyen 13 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Wanita itu turut didakwa atas empat pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa antaranya dengan menggunakan air panas di lokasi serupa antara 1 Ogos dan 13 November 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman masing-masing penjara maksimum tujuh dan 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam Asheeq Ali Sethi Alivi.

Seramai 15 saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 31 Mac 2021.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN