ALOR SETAR: Mutu perbahasan ahli-ahli Parlimen dan perjalanan Dewan Rakyat ketika sesi persidangan akan terus dipertingkat menerusi penggunaan sistem digital yang terkini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, penambahbaikan itu membolehkan urusan dalam dewan termasuk berkaitan soalan-soalan daripada wakil rakyat menjadi lebih cekap, selain menjimatkan kos.
Katanya, dalam perkara itu, beliau melihat Kedah dan Selangor menjadi antara negeri yang menggunakan sistem pendigitalan berkesan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
“Saya pernah menjadi wakil rakyat di Kedah dan apa yang diperkenalkan di Kedah, soalan-soalannya akan dimasukkan secara terus ke dalam sistem, jadi ia lebih cepat. Idea daripada Kedah itu saya bawa dan sepadankan dengan urusan di Parlimen.
“Urusan melibatkan soalan-soalan tambahan dan pemberian jawapan semasa persidangan juga menjadi lebih cepat. Kalau zaman dulu mungkin tiga minggu baru dapat jawapan, sekarang ini boleh dapat dengan segera,” katanya.
Beliau yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun dan Ahli Parlimen Sungai Petani berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke DUN Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Johari berkata, sistem pendigitalan dalam dewan menjadi antara topik yang akan dibincangkan pada Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia 2024 di Kuching, Sarawak pada 11 hingga 14 September ini.
Pada Januari lalu, Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam satu kenyataan memaklumkan, sistem eHantar merupakan salah satu usaha terkini Parlimen untuk mendigitalkan urusan dewan serta meningkatkan mutu perbahasan ahli-ahli Dewan Rakyat.
Melalui sistem itu, pertanyaan bagi jawab lisan dan bukan lisan, Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), serta usul Kamar Khas di bawah Peraturan Mesyuarat 17 boleh dihantar melalui sistem berkenaan. -UTUSAN










