Sindiket tipu kerja: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka diarah sedia laporan

Sindiket tipu kerja: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka diarah sedia laporan

SAIFUDDIN Nasution Ismail (tengah) dalam sidang akhbar sempena Dialog Khas II 2024 di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh diarah menyediakan laporan lengkap berhubung dakwaan empat bekas ahli Parlimen di negara itu menjadi dalang sindiket penipuan pekerjaan bernilai kira-kira RM8.9 bilion termasuk yang dihantar ke sini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau juga akan berhubung dengan Kementerian Sumber Manusia berikutan pemberian kuota pengambilan pekerja asing dikeluarkan oleh kementerian tersebut.  

Selain itu, jelasnya, Jabatan Imigresen juga diarah menyediakan laporan serupa kerana jabatan terbabit menguruskan pengeluaran visa bagi pekerja asing.  

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius siasatan dijalankan Agensi Antirasuah Bangladesh terhadap empat bekas ahli Parlimennya yang didakwa mendalangi sindiket penipuan pekerjaan dengan nilai anggaran RM8.9 bilion.

“KDN mengambil maklum tentang pendedahan tersebut dan telah mengarahkan agensi berkaitan memberikan laporan lengkap bermula daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di negara itu.

“Tentunya saya akan berhubung dengan Kementerian Sumber Manusia juga sebab pemberian kuota pengambilan tenaga kerja asing itu dikeluarkan oleh kementerian tersebut.

“Saya juga akan berurusan dengan agensi di bawah kami terutama Jabatan Imigresen kerana pengurusan pengeluaran visa di bawah kawal selia kami,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Dialog Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) II 2024 di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini, hari ini. 

Media semalam melaporkan Dhaka Tribune memetik sumber bahawa sindiket itu melibatkan bekas Menteri Kewangan, Mustafa Kamal; bekas ahli-ahli Parlimen, Nizam Uddin Hazari, Benazir Ahmed dan Jeneral (B) Masud Uddin Chowdhurry.

Laporan itu mendedahkan sindiket berkenaan telah menghantar 450,000 pekerja ke luar negara termasuk Malaysia dalam tempoh satu tahun.

Bagaimanapun, ramai dalam kalangan pekerja berkenaan tidak dapat pekerjaan seperti dijanjikan dan pulang dengan tangan kosong.

Laporan itu juga mendakwa sindiket terbabit beroperasi dengan sokongan pegawai kanan dari kedua-dua kerajaan Bangladesh dan Malaysia.

Difahamkan, pekerja dicaj melebihi kos ditetapkan kerajaan iaitu kira-kira RM2,940 dengan purata pekerja membayar anggaran RM20,280 untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×