Wabak Cacar Monyet kini mula menghantui dunia

Selepas Covid-19, wabak Cacar Monyet kini mula menghantui dunia

WAD pengasingan diwujudkan di sebuah hospital kerajaan di Ahmedabad, sebagai langkah berjaga-jaga untuk merawat pesakit Mpox.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Langkah mengisytiharkan Mpox atau cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam global (PHEIC) buat kali kedua dalam tempoh dua tahun menunjukkan kelemahan dunia untuk mengambil langkah mengekang wabak itu daripada menular.

Bermula dari benua Afrika, ia menunjukkan antarabangsa enggan mengambil peduli dan mengambil kisah situasi Mpox di benua tersebut sehinggalah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terpaksa mengisytiharkan PHEIC ekoran situasi bertambah buruk.

Ancaman itu menyebabkan pelbagai pihak mengambil langkah drastik untuk menghantar vaksin kecemasan ke negara terlibat sebagai langkah waspada.

Ini selepas, wabak awal di Republik Demokratik Congo merebak ke bahagian jiran Afrika Tengah dan Timur.

Pada masa ini, terdapat beberapa wabak berbeza berlaku serentak, terutamanya di Congo dan negara jiran, termasuk Burundi, Rwanda, Uganda dan Kenya, wilayah yang biasanya bukan endemik.

Kemunculan strain virus baharu di DR Congo, Clade 1b, yang dikesan merebak melalui rangkaian seksual adalah sangat membimbangkan dan antara sebab utama pengisytiharan PHEIC.

Pakar percaya kajian terperinci perlu dilakukan mengenai varian Clade 1b, yang berkemungkinan sangat mudah merebak dan menyebabkan gejala lebih serius.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika melaporkan terdapat lebih 14,500 jangkitan Mpox dan lebih 450 kematian antara awal tahun ini hingga akhir Julai.

Ia merupakan peningkatan sebanyak 160 peratus dalam jangkitan dan 19 peratus peningkatan dalam kematian berbanding tempoh sama tahun lepas.

Setakat ini, tiga negara di luar benua Afrika sudah merekodkan kes Mpox, bermula dengan Sweden, Pakistan dan terbaharu, Filipina.

ASIA TENGGARA MULA WASPADA

Susulan pengisytiharan PHEIC, negara-negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Indonesia, mula melaksanakan langkah-langkah dan saranan pencegahan Mpox.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan menetapkan semua pengembara yang tiba dari negara melaporkan Mpox perlu memantau status kesihatan kendiri setiap hari, termasuk gejalan jangkitan bagi tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.

Indonesia turut mengambil langkah sama mengetatkan skim pemeriksaan kesihatan warga asing yang memasuki negara itu bagi mengelak penularan virus tersebut.

Pemangku Ketua Pengarah Pencegahan dan Kawalan Penyakit, Yudhi Pramono berkata, pelawat asing dikehendaki mengisytiharkan rekod perubatan dan sejarah perjalanan terkini menerusi borang di pintu masuk.

Sementara di Singapura, Kementerian Kesihatan memaklumkan risiko kesihatan awam akibat wabak Mpox di negara itu kekal rendah, namun langkah berjaga-jaga masih dilaksanakan untuk menyekat penularan.

“Setakat ini, semua jangkitan Mpox yang dikesan di Singapura adalah strain Clade II yang lebih ringan, kebanyakannya semasa wabak global pada 2022-2023,” kata kementerian.

Sebanyak 10 kes mpox dikesan di Singapura sehingga 27 Julai tahun ini, selain 32 kes direkodkan pada tahun lepas.

Kementerian Kesihatan Awam Thailand juga mempertingkatkan pemeriksaan penumpang yang tiba untuk mencegah wabak Mpox, lapor Bangkok Post.

Jurucakap Jabatan Kawalan Penyakit Thailand berkata, situasi Mpox di negara itu masih terkawal.

Peningkatan pemantauan turut meliputi Filipina yang sudah merekodkan kes pertamanya selepas pengisytiharan PHEIC.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×