Sebarang tuntutan caj air mentah perlu melalui mahkamah - Kon Yeow

Sebarang tuntutan caj air mentah perlu melalui mahkamah – Kon Yeow

CHOW Kon Yeow (depan, tengah) ketika melancarkan aplikasi terbaharu One Click Hub di Komtar, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri Pulau Pinang sekali lagi menegaskan bahawa sebarang tuntutan caj air mentah yang diambil Pulau Pinang melalui Sungai Muda perlu melalui proses mahkamah.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau sendiri telah berulang kali memberi penjelasan mengenai pendirian Pulau Pinang berhubung isu berkenaan di mana kerajaan negeri Kedah sepatutnya memulakan tuntutan berkenaan di mahkamah.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini perkara itu tidak dilakukan oleh Kedah sebaliknya tuntutan berkenaan hanya dibuat menerusi percakapan semata-mata.

“Saya tidak pernah menerima surat tuntutan daripada mahkamah oleh kerajaan negeri Kedah.

“Sepatutnya, Kedah memulakan tuntutan melalui mahkamah supaya mahkamah dapat putuskan mengenai tuntutan ini,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini, kerajaan negeri Kedah dilaporkan akan terus menuntut bayaran caj air mentah dari Pulau Pinang yang ketika ini mengambil 84 peratus sumber airnya dari Sungai Muda, Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria berkata, Pulau Pinang masih gagal membuat bayaran walaupun satu sen kepada Kedah biarpun tuntutan dibuat sejak 2010.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, memang jelas dari segi undang-undang bahawa Pulau Pinang mengambil air Sungai Muda dari sempadan negeri itu.

“Perkara ini dikawal oleh undang-undang. Siapa yang tidak puas hati boleh ambil tindakan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow menambah, tuntutan terbaharu caj air mentah dari Kedah itu boleh dianggap sebagai satu permainan politik oleh pemimpin negeri tersebut.

“Boleh dikatakan bahawa ini (tuntutan caj air mentah) adalah permainan politik mereka untuk kaut modal politik,” katanya.

Habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN