863 terima biasiswa PFF sejak 2015 - Kon Yeow

863 terima biasiswa PFF sejak 2015 – Kon Yeow

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sebanyak 863 biasiswa di bawah program Penang Future Foundation (PFF) telah dianugerahkan kepada pelajar yang layak sejak 2015 dengan nilai keseluruhan peruntukan sebanyak RM47.7 juta.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, daripada jumlah itu, seramai 58 pelajar daripada pelbagai latar belakang telah berjaya menerima biasiswa tersebut dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Perakaunan dan Kewangan sepanjang tahun lepas.

Beliau yang juga Pengerusi PFF berkata, sehubungan itu, program biasiswa berkenaan akan diteruskan pada tahun ini sebagai satu kesinambungan dalam usaha untuk membentuk modal insan berkualiti demi masa depan Pulau Pinang.

“Usaha menarik serta mengekalkan bakat tempatan bagi memastikan Pulau Pinang terus kekal sebagai destinasi utama pelaburan dan pembangunan ekonomi dalam tempoh 50 tahun akan datang ketika ini sebenarnya telah menjadi semakin kritikal.

“Pada masa yang sama, keperluan industri yang semakin berkembang juga memerlukan bekalan tenaga kerja mahir yang berterusan. Justeru, program PFF dilihat sebagai antara platform terbaik untuk membantu merealisasikan matlamat tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, permohonan biasiswa itu akan dibuka bermula 15 Julai hingga 5 Ogos depan dan mana-mana pemohon yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program berkenaan menerusi laman sesawang rasmi PFF, selain mengikuti pengumuman berkala melalui media sosial serta penerbitan Buletin Mutiara.

Katanya, dua kategori biasiswa ditawarkan iaitu PFF Penang Scholar yang dibuka kepada pelajar yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.67 ke atas serta PFF Mutiara Scholar yang ditawarkan kepada calon yang memperoleh CGPA antara 3.00 hingga 3.66.

“Kedua-dua kategori ini mempunyai syarat kelayakan berbeza yang mengambil kira pencapaian akademik serta latar belakang kewangan pemohon, dengan penerima bakal menikmati manfaat mengikut kategori biasiswa yang dianugerahkan,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN