PBAHB umum dividen 5 sen sesaham, catat keuntungan RM114.55 juta

PBAHB umum dividen 5 sen sesaham, catat keuntungan RM114.55 juta

CHOW Kon Yeow (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan melihat pelan perancangan bekalan air di Pulau Pinang semasa menghadiri majlis perasmian AGM ke-26 PBAHB di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: PBA Holdings Bhd (PBAHB) mengumumkan jumlah dividen 5.0 sen sesaham bagi tahun kewangan 2025 meskipun berdepan peningkatan ketara perbelanjaan cukai yang menjejaskan keuntungan selepas cukai syarikat itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, syarikat itu merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM114.55 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Katanya, pemegang saham turut meluluskan pembayaran dividen akhir sebanyak 2.75 sen sesaham sekali gus menjadikan jumlah dividen yang dibayar bagi tahun kewangan 2025 sebanyak 5.0 sen sesaham selepas dividen interim 2.25 sen sesaham dibayar pada 2 Januari lalu.

“Pembayaran dividen akhir berjumlah RM9.1 juta itu akan dibuat pada 24 Julai depan dan tahun ini juga merupakan tahun ke-25 berturut-turut PBAHB membayar dividen kepada pemegang saham,” katanya pada sidang akhbar Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-26 PBAHB hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. K. Pathmanathan.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAHB berkata, PBAHB turut mencatatkan hasil sebanyak RM568.44 juta pada tahun 2025 berbanding RM527.60 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya dengan kira-kira 85 peratus daripada hasil tersebut atau RM483.20 juta disumbangkan oleh jualan air menerusi anak syarikat utamanya, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP).

“Keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat kepada RM157.36 juta berbanding RM149.34 juta pada tahun 2024. Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai menurun daripada RM144.17 juta kepada RM114.55 juta berikutan peningkatan perbelanjaan cukai yang ketara,” katanya.

Katanya, perbelanjaan cukai meningkat kepada RM42.81 juta pada tahun 2025 berbanding RM5.17 juta pada tahun sebelumnya selepas PBAPP dimaklumkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bahawa syarikat itu tidak layak menerima elaun pelaburan semula di bawah insentif PENJANA bagi Tahun Taksiran 2020 hingga 2024.

“Sebahagian besar keuntungan syarikat akan terus dilaburkan semula sebagai perbelanjaan modal (CAPEX) untuk melaksanakan projek-projek bekalan air yang memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang,” katanya.
Mengenai pelancaran Program Sukuk RM5 bilion, katanya, inisiatif berkenaan merupakan pencapaian penting kerana PBAPP menjadi syarikat berkaitan kerajaan negeri pertama di Pulau Pinang yang berjaya melancarkan program pembiayaan berasaskan sukuk dengan penarafan tertinggi daripada RAM Rating.

Dana diperoleh menerusi program itu akan digunakan untuk membiayai projek di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030), perbelanjaan modal dan operasi, keperluan pembiayaan semula serta pelaksanaan pelbagai inisiatif hijau dan sosial negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN