Sabah berjaya capai sifar miskin tegar

Sabah berjaya capai sifar miskin tegar

HAJIJI Noor (dua kiri) mendengar taklimat projek daripada Ketua Pegawai Eksekutif Victor Ationg (kiri) di tapak penanaman padi di Kampung Ongkilan, Kota Marudu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA MARUDU: Kerajaan negeri berjaya merealisasikan hasrat untuk mencapai sifar miskin tegar menjelang hujung Julai lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sasaran menghapuskan kemiskinan tegar itu berjaya dilakukan dengan komitmen berterusan semua pihak.

“Disebabkan komitmen daripada semua pihak dan selaras dengan aspirasi kerajaan Madani dan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (2021-2025), saya ingin mengumumkan bahawa kita telah berjaya menghapuskan golongan miskin tegar dalam senarai yang terkunci pada 31 Julai,” katanya semasa pelancaran projek Perintis Penanaman Padi di Kampung Ongkilan, hari ini.

Beliau juga berharap agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan terus menyediakan peluang pekerjaan kepada belia di negeri ini.

Katanya, penglibatan GLC pasti akan membantu kerajaan negeri melalui Sekretariat SMJ dan Pejabat Pembangunan Sabah dalam usaha menghapuskan kemiskinan tegar.

Mengenai projek penanaman padi oleh Kumpulan Sawit Kinabalu itu, Hajiji berkata, daerah itu mempunyai kira-kira 2,600 hektar kawasan padi yang terbiar, maka, usaha perlu diambil bagi memastikan kawasan padi yang terbiar dapat diaktifkan semula.

Katanya, beliau mahu tanah yang tidak digunakan milik GLC dibangunkan untuk pertanian, khususnya padi dan ia boleh dilakukan dengan bantuan daripada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri.

“Inisiatif Sawit Kinabalu selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memajukan produktiviti padi dan beras negeri. Saya berharap projek penanaman padi Sawit Kinabalu akan diperluas untuk mencapai tahap ekonomi berimbang dan meningkatkan keuntungan kumpulan tersebut,” katanya.

Projek perintis bernilai RM5 juta yang membabitkan kawasan seluas 100 hektar itu akan membantu usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) kepada 60 peratus menjelang tahun 2030.

“Keselamatan makanan adalah kebimbangan utama di peringkat global dan Sabah tidak terkecuali. Penduduk Sabah memerlukan sekurang-kurangnya 400,000 tan beras setiap tahun namun, pengeluaran beras domestik hanya mampu membekalkan 20 peratus daripada keperluan negeri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN