LONDON: Sebanyak 1,024 orang ditangkap pihak polis United Kingdom (UK) kerana terlibat dalam rusuhan kaum yang menyasarkan komuniti Islam dan pendatang di negara itu sejak awal bulan ini.
Majlis Ketua Polis Negara (NPCC) memaklumkan, daripada jumlah tersebut, 575 individu telah didakwa termasuk warga emas berusia 69 tahun dan kanak-kanak berumur 11 tahun di Belfast.
Dalam pada itu, seorang gadis berusia 13 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Basingstoke kerana didapati menendang dan menumbuk pintu masuk hotel yang menempatkan pendatang suaka.
“Insiden membimbangkan ini akan menyebabkan ketakutan sebenar di kalangan orang yang menjadi sasaran jenayah ini dan amat menyedihkan apabila mengetahui bahawa gadis muda sebegitu mengambil bahagian dalam gangguan ganas ini,” kata Pendakwa Raya Thomas Power seperti memetik laporan Reuters.
Mereka boleh didakwa di bawah Akta Ketenteraman Awam 1986 bagi menggantikan undang-undang biasa yang diguna pakai sebelum ini.
Sebahagian besar daripada mereka yang mengambil bahagian dalam rusuhan ganas di seluruh United Kingdom(UK) setakat ini telah dihadapkan ke mahkamah. Mereka didakwa dengan kesalahan lebih ringan iaitu melakukan kekacauan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun.
Rusuhan di beberapa bandar Britain yang berlaku awal bulan sehingga mencederakan polis dan kerosakan harta benda awam disifatkan paling besar sejak 13 tahun yang berpunca daripada kejadian pembunuhan tiga gadis di barat laut England, hujung Julai lalu.
Suspek, Axel Rudakubana yang didakwa atas beberapa tuduhan membunuh dan cubaan membunuh berhubung serangan di kelas tarian bertemakan Taylor Swift.-AGENSI










