HULU TERENGGANU: Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang setelah kediaman mereka di Kampung Tapah, dekat sini, musnah dalam kebakaran kira-kira 9.30 malam tadi.
Mohd. Nuraliff Zainal Abidin, 38, berkata, ketika kejadian, isterinya, Lathifah Abdul Wahab, 38, dan anak bongsu berusia tiga tahun serta bapa mentua berumur 70 tahun berada di rumah.
Menurutnya, dia pula sedang menyaksikan perlawanan bola sepak Piala FA bersama anak sulung berusia 12 tahun di kedai makan berdekatan terus bergegas pulang selepas mendapat tahu rumah terbakar.
“Sewaktu tiba, api telah marak di tingkat atas rumah. Saya cuba masuk dalam rumah untuk selamatkan dokumen penting tetapi hanya sempat ambil beg isteri, komputer riba serta alihkan dua tong gas.
“Saya turut cedera kecil di lengan.Tidak sampai 10 minit, seluruh rumah bahagian atas musnah terbakar, api begitu cepat kerana struktur kayu berbanding tingkat bawah struktur batu.
“Kebakaran bermula dari bilik ayah mertua,
Abdul Wahab Mat Ali di tingkat bawah. Sewaktu kejadian, dia berada dalam bilik dan sejurus menyedari kebakaran ayah terus menjerit api ,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Nuraliff, ayah mertuanya yang menghidap penyakit buah pinggang tahap lima cuba gagahkan diri berusaha memadam kebakaran, namun api menyambar pada langsir dan terus merebak dengan cepat.
Katanya lagi, melihat api semakin marak, isterinya sambil mendukung anak menarik Abdul Wahab keluar daripada rumah sebelum dibantu jiran tetangga.
“Saya bersyukur semua ahli keluarga terselamat dalam kebakaran tersebut,” ujarnya. – UTUSAN










