Ringgit mengukuh bukti hala tuju dasar kerajaan berhasil

Ringgit mengukuh bukti hala tuju dasar kerajaan berhasil

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi ringgit sebagai satu-satunya mata wang di Asia yang mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini membuktikan hala tuju dasar kerajaan sedang berhasil dan mula menarik perhatian serta keyakinan pelabur semula.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ringgit telah mengukuh sebanyak 2.16 peratus berbanding dolar AS, malah prestasi ringgit juga mengatasi beberapa mata wang utama antarabangsa seperti pound British, Renminbi (RMB) China dan Euro.

Katanya, perkembangan terkini ekonomi negara termasuk naratif ekonomi yang meyakinkan, pelaburan asing yang semakin meningkat, komitmen pengukuhan fiskal dan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang diunjur berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024 menunjukkan tanda-tanda pengukuhan mendadak mata wang ringgit.

“Komitmen Kerajaan Perpaduan terhadap pembaharuan fiskal yang sukar dan perancangan ekonomi yang komprehensif telah menghasilkan satu naratif pertumbuhan ekonomi yang baharu.

“Bergerak ke hadapan, kita menjangkakan pemotongan kadar faedah pertama di Amerika Syarikat yang boleh berlaku seawal pertengahan September akan terus mengukuhkan lagi kedudukan ringgit,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Jelas beliau, walaupun firma penyelidikan sepakat bahawa ringgit akan terus mengukuh, namun pihaknya tetap kekal menumpukan kepada pelaksanaan dasar yang telah dirancang secara berkesan.

“Ekonomi dunia akan terus bergolak dalam masa terdekat yang akan terus mempengaruhi turun naik ringgit.

“Nilai ringgit hanya akan dapat dipertahankan dari ketidaktentuan global ini sekiranya ekonomi negara distrukturkan ke arah berteknologi tinggi untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN