53 projek sakit direkod setakat suku pertama 2026

53 projek sakit direkod setakat suku pertama 2026

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 53 projek sakit dicatatkan setakat suku  pertama 2026.

Jumlah itu mewakili 6.18 peratus daripada keseluruhan projek dalam pembinaan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pada masa yang sama, tiada projek yang dikategorikan sebagai terbengkalai. 

“Walau bagaimanapun, terdapat 17 projek sakit yang kontraknya telah ditamatkan. 

“Memandangkan penentuan nilai kerugian bagi projek-projek ini bergantung pada pelbagai pertimbangan dan andaian, tiada nilai kerugian dapat direkodkan secara muktamad.

“Kerugian dalam bentuk kewangan tidak dapat ditentukan, namun secara amnya terdapat kerugian dari aspek masa dan manfaat yang sepatutnya diterima oleh rakyat,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai jumlah projek sakit dan terbengkalai di seluruh negara sehingga suku pertama 2026. Ia termasuk nilai keseluruhan projek terlibat dan jumlah kerugian yang ditanggung kerajaan.

Alexander turut menjelaskan, susulan penamatan kontrak tersebut, JKR sedang menyelaras tindakan bagi melantik kontraktor untuk menyiapkan baki kerja projek.

“Semua projek yang kontraknya telah ditamatkan diuruskan selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia (PK) 4.5 mengenai Tatacara Pengurusan Projek Sakit dan Pelantikan Kontraktor Penyiap bagi Projek Sakit. 

“Tuntutan terhadap sebarang perbelanjaan tambahan yang ditanggung oleh Kerajaan diuruskan berdasarkan peruntukan kontrak serta dasar kerajaan yang sedang berkuat kuasa. Langkah-langkah ini diambil bagi memastikan projek-projek berkenaan dapat disiapkan dengan teratur, seterusnya memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN