ADUN DAP berpindah ke blok pembangkang

ADUN DAP berpindah ke blok pembangkang

Muhammad Jailani Khamis (PN-Pas) mengucapkan tahniah kepada Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) yang duduk di blok pembangkang pada Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA:  Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri berkuat kuasa serta-merta semalam, berpindah ke blok pembangkang memulakan  Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Lima wakil rakyat terbabit ialah ADUN Kesidang, Allex Seah Shoo Chin; ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong; ADUN Bandar Hilir, Leng Chau Yen; ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee, yang mewakili DAP serta ADUN Bukit Katil daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari.

Bagaimanapun, kedudukan Adly  menimbulkan tanda tanya apabila beliau tidak berada di blok pembangkang seperti empat lagi ADUN yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri. 

Sebaliknya, Ahli Parlimen Alor Gajah itu dilihat kekal berada di blok kerajaan, meskipun pada awalnya tempat duduk yang disediakan untuknya berada bersebelahan ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee di blok pembangkang. 

Situasi itu mencetuskan persoalan dalam kalangan pemerhati dan wakil media berhubung kedudukan sebenar beliau sepanjang persidangan DUN berlangsung.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ibrahim Durum berkata, perubahan kedudukan tempat duduk itu dibuat selepas beliau menerima surat rasmi penarikan sokongan terhadap pentadbiran kerajaan negeri pada petang semalam.

“Surat rasmi telah saya terima petang semalam dan berdasarkan perkara itu, kedudukan tempat duduk mereka di dalam Dewan berubah ke blok pembangkang bermula pada persidangan hari ini,” katanya ditemui sebelum memulakan persidangan DUN Melaka.

Susulan perubahan itu, kelima-lima ADUN berkenaan kini duduk sebaris bersama ADUN Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub; ADUN Sungai Udang, Datuk Mohd. Aleef Yusof dan ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang sebelum ini berada di blok pembangkang.

Perubahan tersebut menjadikan blok pembangkang kini mempunyai lapan ADUN, sekali gus mengubah susunan tempat duduk dalam dewan bagi baki persidangan DUN kali ini.

Dalam perkembangan sama Ibrahim berkata, jawatan Timbalan Speaker DUN Negeri Melaka masih kekal kosong susulan peletakan jawatan penyandangnya Kerk dari DAP sebelum ini dan belum ada pelantikan baharu dibuat.

Semalam, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, keputusan empat ADUN DAP bersama seorang ADUN Amanah menarik sokongan terhadap kerajaan negeri dibuat berkuat kuasa serta-merta sejurus Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026.

Menurut beliau, pindaan itu membolehkan kerajaan negeri melantik tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan eksekutif, sekali gus menjadi antara faktor yang mendorong keputusan berkenaan.

Selain menarik sokongan, lima wakil rakyat terbabit turut melepaskan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri, termasuk dua Exco, seorang Timbalan Exco, Timbalan Speaker DUN serta beberapa jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).-UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN