MELAKA: Pakatan Harapan (PH) Melaka akan membuat keputusan muktamad berhubung pendirian gabungan itu terhadap Kerajaan Negeri selepas mengadakan mesyuarat khas esok.
Pengerusinya, Adly Zahari berkata, mesyuarat juga akan mengambil kira pandangan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung tindakan lima ADUN PH menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Melaka.
Ia selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan pelantikan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan eksekutif.
Ahli Parlimen Alor Gajah itu berkata, mesyuarat berkenaan akan meneliti pandangan semua parti komponen PH negeri, lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH serta mengambil kira pandangan kepimpinan pusat sebelum sebarang keputusan diumumkan kepada umum.
“Kita juga mengambil kira pandangan Perdana Menteri. Esok Pakatan Harapan Melaka akan berbincang dan selepas itu kita akan maklumkan keputusan yang dipersetujui.
“Kita mempunyai mekanisme dalam PH untuk menyelesaikan setiap isu secara muafakat. Esok PH Melaka akan berbincang, mengambil kira pandangan ADUN-ADUN, parti-parti komponen dan juga pandangan kepimpinan pusat termasuk Perdana Menteri sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya dalam sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.
Mengulas lanjut, Adly berkata, buat masa ini beliau masih menyokong pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sementara menunggu keputusan rasmi PH Melaka.
“Setakat hari ini kita masih menyokong kerajaan negeri. Apa-apa keputusan berkaitan lantikan politik dan kedudukan dalam kerajaan akan diputuskan selepas mesyuarat PH Melaka esok,” katanya.
Mengulas penolakan lima ADUN PH terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026, Adly berkata, pendirian itu dibuat berasaskan tiga prinsip utama iaitu jumlah maksimum tujuh ADUN lantikan disifatkan terlalu besar kerana mewakili kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka.
Faktor kedua, kebimbangan terhadap hak demokrasi kerana pelantikan dalam jumlah yang besar dikhuatiri boleh menghakis suara rakyat yang memilih wakil mereka melalui pilihan raya.
Beliau berkata, faktor ketiga ialah implikasi kewangan kepada kerajaan negeri apabila pelantikan tujuh ADUN bukan eksekutif dijangka melibatkan perbelanjaan hampir RM1 juta setahun bagi elaun, tidak termasuk kos pentadbiran dan kemudahan lain.
Adly turut melahirkan rasa kecewa apabila rang undang-undang tersebut dibawa secara unilateral tanpa mencapai persetujuan dalam kalangan parti-parti Kerajaan Perpaduan di Melaka.
Mengulas kekeliruan mengenai kedudukan tempat duduknya dalam DUN yang dilihat berada di blok kerajaan walaupun nama beliau sebelum ini disenaraikan bersama wakil pembangkang, Adly berkata, susunan tempat duduk tidak seharusnya dijadikan ukuran terhadap pendirian politik seseorang ADUN.-UTUSAN










