Akta Hasutan kekal relevan tangani kes 3R

Akta Hasutan kekal relevan tangani kes 3R  

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akta Hasutan 1948 pada masa ini kekal relevan sebagai instrumen penguatkuasaan dalam menangani kes-kes yang mempunyai kecenderungan menghasut, khususnya melibatkan penyebaran kandungan di media sosial berkaitan isu kaum, agama, institusi diraja (3R).  

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah akta tersebut terhadap mana-mana bentuk perdebatan di media sosial yang bersifat provokatif serta berpotensi menjejaskan ketenteraman awam.

“Dalam pelaksanaan semasa, PDRM melaksanakan pemantauan berterusan terhadap ruang siber serta mengambil tindakan siasatan terhadap mana-mana kandungan yang dikenal pasti mempunyai elemen hasutan.

“Setiap laporan polis yang diterima di bawah Akta ini tetap akan disiasat secara teliti dan profesional oleh PDRM, manakala keputusan untuk mendakwa tertakluk kepada budi bicara Peguam Negara berdasarkan kekuatan keterangan bagi setiap kes,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini. 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang meminta menteri  menyatakan apakah reformasi terkini yang dilaksanakan terhadap Akta Hasutan 1948.

Saifuddin berkata, Kementeriannya dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara (AGC) sentiasa meneliti peruntukan di bawah undang-undang yang dikawal selia termasuk Akta Hasutan 1948.

“Proses semakan bagi menambah baik peruntukan sedia ada di bawah Akta Hasutan 1948 dilaksanakan agar ia selari dengan prinsip perundangan moden serta berdasarkan perkembangan trend semasa, perubahan teknologi serta cabaran baharu dalam ekosistem digital tanpa mengabaikan aspek perlindungan terhadap kedaulatan negara dan keharmonian masyarakat berbilang kaum,” katanya.-UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN