PUTRAJAYA: Rayuan akhir Datuk Peter Anthony terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 kerana memalsukan dokumen berkaitan kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada satu tarikh lain.
Keputusan penting itu akan menentukan sama ada Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu boleh bertanding atau hilang kelayakan sebagai calon pada pilihan raya akan datang.
Menurut laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Perkara 48(1)e Perlembagaan Persekutuan menyatakan mana-mana individu yang telah disabitkan oleh mahkamah, dihukum penjara minimum satu tahun atau didenda melebihi RM2,000 dan masih belum menerima pengampunan atau dibatalkan sabitannya, tidak boleh menjadi calon pilihan raya.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menangguhkan keputusan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan.
Beliau yang bersidang bersama-sama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin menetapkan 16 Ogos ini untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh keputusan terhadap Peter, 53, yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 18 April 2023 yang mengesahkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 26 Mei 2022 yang sabit dan menghukumnya.
Terdahulu, peguam Datuk Nicholas Kow Eng Chuan yang mengetuai pasukan pembelaan berhujah, pertuduhan terhadap Peter adalah cacat kerana tidak menyertakan tanda tangan pada kertas pertuduhan yang dikemukakan.
Hujah peguam, kertas pertuduhan perlu ditandatangani oleh pendakwa raya selaras dengan peruntukan Seksyen 172 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
Menurut beliau, pendakwaan menghujahkan bahawa peruntukan itu hanya terpakai untuk kes di Mahkamah Tinggi sahaja, sebaliknya kes Peter dibicarakan di Mahkamah Sesyen.
“Bagaimanapun, kami berhujah bahawa pelaksanaan undang-undang mesti secara sama rata kerana peruntukan ini mesti juga diguna pakai di mahkamah rendah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah, ketiadaan tanda tangan pada kertas pertuduhan tidak membawa kepada berlakunya salah laksana keadilan (miscarriage of justice) kerana pertuduhan yang dikemukakan sama ada asal atau dipinda, telah dibacakan dan diterangkan kepada perayu.
Peter sebagai Pengarah Urusan Asli Jati Engineering disabit memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat untuk menipu.
Menurut pertuduhan, surat berkenaan kononnya menyatakan UMS telah mengadakan kolaborasi dengan Syarikat Asli Jati Engineering yang dimiliki oleh tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










