PETALING JAYA: Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meletakkan calon bagi menentang calon-calon Perikatan Nasional (PN) di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan jelas menunjukkan parti itu tidak lagi mahu bersama gabungan berkenaan.
Bekas Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, perkembangan itu memberi asas kukuh kepada Majlis Tertinggi (MT) PN untuk mengeluarkan Bersatu daripada gabungan tersebut.
“Tindakan Bersatu untuk meletak calon bagi menentang calon-calon Perikatan Nasional (PN) di lapan kerusi DUN dalam PRN Negeri Sembilan jelas menunjukkan pendirian parti itu tidak lagi mahu bersama Perikatan Nasional.
“Majlis Tertinggi Perikatan Nasional mempunyai asas yang kukuh untuk mengeluarkan Bersatu daripada gabungan Parti Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan Ahli Parlimen Beluran itu dibuat susulan tindakan Bersatu yang meletakkan calon di kerusi yang turut ditandingi calon PN dalam PRN Negeri Sembilan.
Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan bahawa seramai 103 calon mewakili pelbagai parti dan individu disahkan bertanding dalam PRN) Negeri Sembilan kali ini.
Menurutnya, daripada jumlah itu, Pakatan Harapan (PH) merekodkan jumlah tertinggi dengan 36 calon, diikuti Barisan Nasional (25 calon) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (24 calon).
Selain, Perikatan Nasional (PN) 11 calon, empat calon bebas manakala Barisan Jamaah Islamiah Semalaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang calon. – UTUSAN










