NEW YORK: Seketul batu meteorit seberat lebih satu kilogram yang merempuh bumbung sebuah rumah di New Jersey dua tahun lalu dilaporkan mampu merungkai misteri kewujudan air purba di dalam sistem suria.
Mengimbas kembali kejadian pada 16 Julai 2024, rata-rata penduduk di New York, New Jersey, Connecticut, Rhode Island, dan Pennsylvania dilaporkan gempar selepas menyaksikan bebola api melintasi ruang udara pada waktu siang.
Objek misteri yang meluncur laju di selatan Patung Liberty itu turut mencetuskan letupan sonik yang dapat dirasai oleh penduduk sekitar. Fenomena luar biasa tersebut berpunca daripada batuan angkasa bersaiz beg pakaian besar yang memasuki atmosfera bumi pada kelajuan mencecah 51,500 kilometer sejam.
Berbeza dengan meteorit lain, batuan angkasa ini dilaporkan sangat rapuh dan telah pecah kepada beberapa bahagian pada ketinggian kira-kira 35.4 kilometer dari permukaan bumi. Radar cuaca Doppler di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty sempat mengesan serpihan batuan tersebut yang jatuh bertaburan dari Staten Island sehingga ke New Jersey.
Bagaimanapun, hanya satu serpihan sahaja yang berjaya ditemukan selepas ia dikesan merempuh siling bilik tidur utama di sebuah rumah yang terletak di Hillsborough, New Jersey.
Saintis Kanan di Institut SETI dan Pusat Penyelidikan Ames Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) di California, Peter Jenniskens memaklumkan, insiden impak itu tidak melibatkan sebarang kecederaan. Malah, pemilik rumah bertindak pantas dengan memakai sarung tangan pakai buang sebelum mengutip serpihan hitam dan habuk batu tersebut daripada katil serta permaidani menggunakan kertas aluminium serta balang kaca.
Jenniskens merupakan ketua pengarang bagi kajian terbaharu mengenai meteorit Hillsborough yang diterbitkan dalam jurnal Science Advances, Rabu lalu.
Menurut Jenniskens, tindakan pemilik rumah yang segera membaiki bumbung mereka sebelum hujan turun pada malam kejadian amat penting, memandangkan struktur meteorit yang rapuh dan berongga itu sangat mudah menyerap kelembapan udara.
Kepantasan tersebut berjaya menyelamatkan meteorit itu daripada mengalami pencemaran yang teruk, sekali gus membolehkan barisan saintis menjalankan kajian mendalam.
Hasil analisis mendedahkan objek tersebut merupakan jenis meteorit primitif yang amat jarang ditemukan, yang bertindak sebagai ‘tingkap’ untuk melihat sejarah awal pembentukan sistem suria.
“Kami berjaya mengesan rantaian asid amino kompleks yang merupakan blok binaan asas kepada protein menerusi ekstrak air daripada meteorit Hillsborough ini,” jelas pakar saintis dari Pusat Penerbangan Angkasa Goddard NASA di Maryland, Dr. Danny Glavin yang turut menganggotai kajian tersebut.
“Kebanyakan asid amino yang ditemukan dalam meteorit Hillsborough ini amat jarang ditemui atau langsung tidak wujud dalam hidupan di bumi. Oleh itu, ia sah berasal dari luar angkasa,” tambah beliau lagi. – AGENSI










