KUALA LUMPUR: Menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia memelihara kemerdekaan dan memberi makna kepada negara yang bebas dan berdaulat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanggungjawab itu adalah selaras hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat Malaysia Madani yang sentiasa hormat-menghormati.
Selain itu, katanya, hasrat kerajaan juga meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban yang meliputi sifat ihsan dan saling membantu bagi memastikan masyarakat hidup sejahtera tanpa persengketaan.
Katanya, kemerdekaan yang diwariskan oleh negarawan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj hendaklah sentiasa dipelihara seperti yang disebut Allahyarham dalam pemasyhuran kemerdekaan 67 tahun lalu bahawa negara hendaklah kekal merdeka, berdaulat dan seluruh rakyatnya aman, sejahtera dan sentosa selama-lamanya.
“Sesungguhnya, negarawan ulung ini membina, mencorak dan membuka langkah supaya Malaysia menjadi negara yang berjaya bukan hanya dari segi pembangunan, malah kualiti rakyatnya.
“Tun Abdul Razak dalam ucapannya di Dewan Rakyat pada Februari 1972 juga mengakui ketokohan Tunku Abdul Rahman dengan menyatakan bahawa beliau telah muncul pada saat penting dalam sejarah perjuangan bangsa.
“Negara di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman banyak membawa kemakmuran dengan terlaksananya projek-projek pembangunan infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan pembasmian kemiskinan bagi meningkat sosio ekonomi rakyat dan negara yang lebih sempurna dan terjamin.
“Maka, saya percaya, tema Negarawan Sejuta Jasa amat tepat bagi menggambarkan pengorbanan, sumbangan dan jasa Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Mengenang Negarawan, Tun Abdul Rahman Putra Al-Haj ‘Negarawan Sejuta Jasa’ di Piazza, Pavilion, Bukit Jalil di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Mengulas lanjut, kata Anwar, Tunku Abdul Rahman banyak memberi sumbangan kepada perkembangan agama Islam di dalam dan luar negara, malah mengilhamkan pertandingan membaca al-Quran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Katanya, Tunku Abdul Rahman menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) bagi membantu dan membimbing golongan mualaf yang baharu memeluk Islam.
“Beliau juga menyertai Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang kini dikenali sebagai Pertubuhan Kerjasama Islam dan pernah menjadi Setiausaha Agung OIC yang pertama,” katanya.
Katanya, Tunku Abdul Rahman menyumbang dalam bidang kesukanan menyaksikan di usia kecilnya mempunyai minat mendalam terhadap sukan bola sepak.
“Beliau adalah pengasas Pesta Bola Merdeka yang popular dan turut disambut baik oleh negara-negara lain di Asia. Beliau juga pernah menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia,” katanya. – UTUSAN
Imbasan peristiwa kemerdekaan negara dan pembentukan Malaysia dalam teks ucapan perdana menteri:
28, 29 Disember 1955 – Rundingan Baling sebagai usaha terakhir Kerajaan Perikatan dipimpin Tunku Abdul Rahman untuk meyakinkan British yang rakyat tempatan layak memerintah dan bersedia menuntut kemerdekaan.
29, 30 Jun 1957 – Tunku Abdul Rahman dianugerahkan gelaran Bapa Kemerdekaan Tanah Air ketika Persidangan Agung UMNO.
30 Ogos 1957 – Pengurniaan gelaran Bapa Kemerdekaan Tanah Air secara rasmi pada malam 30 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor.
27 Mei 1961 – Tunku Abdul Rahman menyatakan hasrat menubuhkan Malaysia (gabungan antara Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah), Sarawak, Brunei dan Singapura) ketika berucap dalam majlis jamuan makan tengah hari anjuran Persatuan Wartawan Asing Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura.
20 Januari 1962 – Indonesia melancarkan konfrontasi terhadap Persekutuan Tanah Melayu dengan kempen Ganyang Malaysia, manakala Filipina membuat tuntutan ke atas Borneo Utara.








