WASHINGTON: Delegasi Pro Palestin Parti Demokrat akan menggesa calon Presiden Demokrat supaya menggesa sekatan senjata dikenakan terhadap Israel pada konvensyen Kebangsaan parti tersebut di Chicago.
Mereka yang dikenali sebagai ‘perwakilan menentang genosid’ berkata mereka akan menggunakan hak kebebasan bersuara bagi menyuarakan isu tersebut ketika acara utama konvensyen tersebut yang akan mencalonkan secara rasmi Naib Presiden, Kamala Harris sebagai calon Presiden untuk menentang Donald Trump dari Parti Republikan.
Penganjur kumpulan tersebut enggan memberikan butiran, namun mereka bakal menawarkan pindaan kepada platform parti dan menggunakan hak mereka sebagai perwakilan untuk bercakap pada konvensyen itu nanti.
Konvokesyen Nasional Demokratik bakal berlangsung selama empat hari dan bermula pada Isnin dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dijadualkan bakal memberi ucapan pada hari Isnin manakala Harris pada Khamis ini.
Perwakilan Pro Palestin berkata mereka berhak mendapat peranan yang lebih besar dalam penulisan platform parti, di mana Konvensyen tersebut bakal diadakan di Chicago, yang mempunyai penduduk Amerika Palestin terbesar di mana-mana bandar AS.
Kumpulan itu mahu memasukkan penguatkuasaan undang-undang yang menyokong larangan memberikan bantuan kewangan kepada persendirian atau pasukan keselamatan yang secara terang-terangan melanggar hak asasi manusia.
“Kebebasan bersuara semestinya termasuk hak untuk berdiri dan didengari walaupun pihak berkuasa perintahkan kita untuk diam.
“Kita akan memastikan suara kita dapat didengari,” demikian menurut Liano Sharon, seorang delegasi bersama 34 perwakilan yang lain.
Perang Israel dan Hamas yang sudah berlanjutan selama 11 bulan telah mengurangkan sokongan kepada parti Demokrat dari pengundi Amerika beragama Islam dan berketurunan Arab-Amerika yang mewakili undi penting di negeri penting seperti Arizona, Michigan dan Pennsylvania.
Kira-kira 40,000 penunjuk perasaan dijangka berkumpul di luar konvensyen pada Isnin untuk berdemonstrasi menentang polisi pentadbiran Biden terhadap Israel dan penganjur berkata jumlah itu boleh meningkat melebihi 100,000 orang.-AGENSI










