PRK Nenggiri: Saingan tiga penjuru?

PRK Nenggiri: Saingan tiga penjuru?

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan diadakan pada 17 Ogos ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHANG Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Nenggiri yang dirasai sejak dua minggu lalu menjadi semakin ‘panas’ apabila gelanggang memilih wakil rakyat baharu dibuka secara rasmi hari ini dengan proses penamaan calon.

PRK dilangsungkan selepas Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah membuat pengumuman pengosongan luar jangka kerusi berkenaan pada 13 Jun lalu.

Ia dibuat selepas Mohd. Amar menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengenai pengguguran keahlian Mohd. Azizi Abu Naim.

PENAMAAN

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

Menariknya, PRK Nenggiri kali ini dijangka melibatkan pertembungan tiga antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sedar Rakyat (Sedar).

Ia mengambil kira kenyataan Sedar yang mengesahkan akan bertanding dan meletakan calon pada PRK Nenggiri sebagai ‘batu loncatan’ sebelum melangkah ke Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) apabila mereka mahu bertanding di semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, sehingga kini Sedar belum memperkenalkan lagi sosok tubuh yang bertan­ding untuk mewakili mereka pada PRK Nenggiri nanti.

BERSEDIA

Tindakan itu menimbulkan persoalan adakah Sedar benar-benar bersedia untuk bertan­ding walaupun sudah mengambil borang pencalonan sebaik sahaja mengumumkan untuk bertanding.

PRK Nenggiri menyaksikan BN melakukan ‘henjutan’ awal dengan mengumumkan Ke­tua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38, sebagai calon pada 19 Julai lalu.

Pemilihan Mohd. Azmawi Fikri yang merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang disifatkan sebagai tepat apabila beliau cukup dikenali dalam kalangan penduduk Nenggiri.

Bukan itu sahaja, beliau sudah mula ‘kerja’ sebagai pe­mimpin masyarakat sejak pandemik Covid-19 melanda negara dengan turun padang membantu penduduk di Nenggiri.

Selang sembilan hari kemudian, Perikatan Nasional (PN) mengumumkan bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd. Rizwadi Ismail, 41, untuk mewakili gabungan itu.

Pengumuman Mohd. Rizwadi itu cukup mengejutkan apabila dia dilaporkan baru dua hari menjadi ahli Bersatu kerana sebelum ini beliau adalah ahli Pas.

Bagaimanapun, Bersatu ber­untung apabila jentera dan ahli Pas tidak goyah dengan perkara tersebut malah meletakan perjuangan parti lebih ‘mulia’ berbanding batang tubuh calon.

Dalam PRK lalu, calon PN dari Bersatu, Mohd. Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab. Aziz Yusoff. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN