PRK Nenggiri: Pengundi sudah tidak ‘ghairah’

PRK Nenggiri: Pengundi sudah tidak ‘ghairah’

Wan Ahmad Wan Omar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengundi didapati tidak lagi ‘ghairah’ untuk turun mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada 17 Ogos ini.

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, beberapa siri PRK sebelum ini menunjukkan kadar peratusan keluar mengundi rendah walaupun parti bertanding menampilkan pemimpin utama mereka.

Kata beliau, ia menunjukkan semangat rakyat untuk keluar me­ngundi sudah malap dan tidak lagi tinggi seperti pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) yang dilaksanakan sebelum ini.

“Ini mengecewakan kerana perbelanjaan untuk melaksanakan pilihan raya ini tinggi tetapi rakyat tidak menggunakan sepenuhnya kuasa mereka untuk menentukan wakil-wakil rakyatnya.

“Ini menjadi tugas SPR untuk melakukan apa sahaja yang boleh supaya peratusan keluar mengundi pada PRK Nenggiri tinggi. Tugas ini juga perlu dijalankan oleh parti-parti politik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, media melaporkan, menerusi kenyataan awal SPR menunjukkan kos yang diperlukan untuk melaksanakan PRK Nenggiri adalah sebanyak RM1.6 juta.
Namun, Wan Ahmad, menganggarkan kos yang diperlukan untuk menjayakan PRK Nenggiri me­lebihi RM2 juta.

“Ia akan lebih daripada PRK Sungai Bakap yang menelan kos sebanyak RM2.1 juta kerana kawasan muka bumi di Nenggiri agak sukar.

“Walaupun jumlah pengundi di sana rendah, SPR memerlukan segala peralatan dan pengangkutan untuk memasuki pusat mengundi kerana ia melibatkan kawasan pedalaman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN