KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md. Jais Sarday, enggan mengulas berkenaan cadangan Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Menurut beliau, cadangan itu tidak sesuai untuk diulas oleh beliau kerana ‘mungkin’ wujud peluang bagi dirinya menjadi calon bagi DUN tersebut.
“Saya ingat tidak sesuai untuk saya komen, nanti tiba-tiba saya pula jadi calon,” katanya ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia di Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan Syed Hussein Syed Abdullah sebagai calon PRK DUN Mahkota.
Usul tambahan itu dicadangkan Ketuanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh ketika menangguhkan ucapan sayap Pemuda Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Akmal meminta usul tersebut dibawa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan ke mesyuarat malam tadi.
Mengulas lanjut, Md. Jais berkata, tiada isu atau masalah kepada sebarang keputusan berkenaan yang diputuskan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mengenai calon bakal menjadi pilihan.
“Biarlah MKT yang buat keputusan, lagipun tiada masalah untuk bekerjasama kerana kita semua dalam pasukan yang sama,” katanya.- UTUSAN











