‘Politik telefon bimbit’ dekati Gen Z

‘Politik telefon bimbit’ dekati Gen Z

Zambry Abdul Kadir
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan UMNO perlu menggunakan pendekatan baharu untuk menjadikan gabu­ngan itu kekal relevan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, usia BN sudah menjangkau 50 tahun sekali gus perlu membuat beberapa pembaharuan khususnya dalam mendekati golongan muda.

Kata beliau, antara pendekatan yang boleh digunakan adalah ‘politik telefon bimbit’ bagi memenuhi kehendak khusus­nya generasi baharu atau digelar Gen Z.

“Jika kita mahu parti terus relevan dan efektif, maka kita tidak boleh menafikan golongan baharu iaitu generasi muda ini. Sebab jika kita lihat pada masa ini politik sudah berubah pe­ngaruhnya.

“Pengaruhnya bukan lagi bersandarkan kepada cara yang tradisional, semuanya bergantung kepada politik yang bermaklumat iaitu kita boleh terus berhubung dengan segera.

“Semua itu berada di handphone kerana semua maklumat kita dapat dengan kadar segera. Jadi telefon pintar yang ada di tangan kita inilah yang menjadi pilihan kepada generasi muda,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Utusan Malaysia, semalam.

Kata Zambry, bagi menghadapi cabaran dan politik baharu itu, ia menuntut kreativiti dan inovasi yang tinggi dan UMNO serta BN memerlukan lebih ramai tenaga muda bagi merea­lisasikan perkara itu.

“Bagi menangkap imiginasi rakyat untuk memilih sesebuah parti, tugas yang ada di hadapan kita agak besar dan memerlukan lebih ramai anak muda yang penuh kreativiti bagi memenuhi zaman baharu ini iaitu zaman politik handphone,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, gabungan BN masih relevan meskipun kerjasama dengan parti komponen lain menjangkau usia 50 tahun.

Malah, kata beliau, gabungan itu adalah sebahagian daripada sejarah politik negara dan kekal utuh sehingga ke hari ini.

“Sebelum ini, BN terdiri daripada 13 parti komponen yang majoritinya terdiri daripada kaum Melayu, diikuti dengan Cina (MCA) dan India (MIC) tanpa meminggirkan kaum lain. Dari situ, kita berkongsi semangat dan kuasa yang membentuk negara.

“Malah, relevannya BN itu kerana bagi saya sejarah politik Malaysia ini adalah sejarah politik gabungan. Sebab itu saya menyanggah kata-kata pakar apabila mereka mengatakan kejatuhan UMNO disebabkan pemerintahan satu parti politik sahaja tetapi sebenarnya tidak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×