KUALA LUMPUR: Tindakan polis memanggil dan menyiasat wartawan berkaitan sumber maklumat diperoleh untuk menghasilkan berita bukan dianggap suatu perkara yang kontradiksi.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, siasatan itu adalah sebahagian daripada tugas yang dilakukan polis, sekali gus menyarankan mana-mana pihak termasuk wartawan perlu memberikan kerjasama ketika ia dilakukan.
“Wartawan ada hak untuk membuat laporan berita, polis juga ada hak untuk menyiasat, ia bukan satu perkara yang kontradiksi.
“You stand by your source (awak berpendirian dengan sumber awak). Kalau ditanya, jawab. Tidak jadi isu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran dan Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 peringkat Wilayah Persekutuan dan Putrajaya di sini, hari ini.
Polis kelmarin memanggil tiga wartawan portal dalam talian berhubung satu laporan berita yang disiarkan termasuk bertanyakan mengenai identiti sumber yang dipetik dalam artikel tersebut.
Bagaimanapun, ketiga-tiga wartawan tersebut enggan mendedahkan identiti sumber berkenaan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beliau tiada masalah dengan tindakan wartawan untuk terus melindungi kerahsiaan daripada setiap laporan yang disiarkan.
“Kalau kita rujuk etika kewartawanan, kita memberi penjelasan yang wartawan ada hak kerahsiaan sumber, tak jadi masalah, Dalam masa sama, saya telah sebut untuk memberikan kerjasama kepada polis.
“Dari segi peraturan, polis perlu adakan siasatan,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain mengenai isu keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berhubung penetapan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Fahmi berkata, tiada sebarang maklumat mengenai perkara itu dan akan memaklumkan perkembangan menerusi kenyataan media. – UTUSAN










