Polis kesan abang Aufahanie - Utusan Malaysia

Polis kesan abang Aufahanie

Abang Aufahanie hilang
POLIS sedang mengesan kehilangan Muhammad Nidza Afham yang merupakan abang kepada Aufahanie, dilaporkan hilang sejak petang semalam selepas keluar dari rumahnya dekat Bandar Puteri Klang, di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Abang kepada penyanyi, Aufahanie, Nidza Afham masih belum ditemukan selepas beliau dilapor gagal dihubungi sejak keluar beriadah pada petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, polis menerima laporan daripada adik Nidza Afham berkenaan kehilangan lelaki berusia 23 tahun itu di Balai Polis Klang pada pukul 4.22 pagi tadi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pada pukul 7.45 malam semalam, Nidza Afham atau nama sebenarnya Muhammad Nidza Afham dikatakan keluar dari rumah di Bandar Puteri Klang, di sini untuk beriadah di Stadium Sultan Sulaiman.

“Nidza Afham keluar dari rumah dengan menggunakan perkhidmatan pengangkutan e-hailing (InDrive). Namun, pada pukul 9.04 malam hari sama, teman wanitanya cuba menghubungi beliau dan selepas itu sudah tidak dapat disambungkan.

“Teman wanitanya mendapati lokasi terakhir keberadaannya melalui aplikasi Find My iPhone adalah di Jambatan Kota berdekatan Majlis Bandaraya Diraja Klang. Adiknya juga pergi ke lokasi tersebut dan menemukan sebuah telefon bimbit iPhone dan dompet milik abangnya,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambah Hoong Fong, dompet berkenaan berisi dokumen seperti kad pengenalan dan kad pelajar milik Nidza Afham, namun kad ATM mangsa, hilang.

Justeru, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan digesa menyalurkannya terus ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau di mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan Aufahanie yang juga penyanyi Geming Jiwa menerusi Instagramnya meminta orang ramai mendoakan keadaan abangnya.

“Minta tolong semua orang doakan abang saya dijumpai dalam keadaan selamat,” tulisnya ringkas.

Menerusi hantaran berbeza di aplikasi X, kakak sulungnya, Irfahanie, menceritakan kronologi kali terakhir Afham berjaya dihubungi adalah sekitar pukul 9 malam tadi.

Bimbang dengan keadaan itu, pihak keluarga pergi ke kawasan jambatan Sungai Klang dan menjumpai dompet serta telefon milik Afham.

“Pukul 1:50 pagi, Ina dan Umi cari Afham dibantu oleh dua orang lelaki. Kami pusing dan cari di sekitar jambatan baru yang belum buka. Jumpa telefon dan dompet dalam keadaan tersusun di hujung jambatan,” katanya.

Bukan itu sahaja, menurut kakaknya, hasil pemeriksaan telefon bimbit tidak menunjukkan Afham terlibat dengan sebarang pergaduhan atau melakukan pinjaman dengan ceti haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN