Polis buru penyamun kedai barangan perkahwinan - Utusan Malaysia

Polis buru penyamun kedai barangan perkahwinan

Samun kedai
TANGKAP layar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian samun oleh sekumpulan lelaki memakai topi keledar yang berlaku dekat kedai barangan perkahwinan di Shah Alam, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang peniaga kehilangan wang tunai RM1,000 manakala empat pelanggan wanita kerugian kira-kira RM22,000 apabila kesemua itu dilarikan penyamun dalam kejadian dekat sebuah kedai barangan perkahwinan dan jahitan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian pukul 12.25 tengah hari itu, sekumpulan empat lelaki memakai topi keledar dan penutup mulut melakukan samun terhadap kedai berkenaan.

Menurutnya, dua daripada mereka bersenjatakan sebilah parang dan sebilah pisau memasuki premis yang terdiri daripada tiga pekerja kedai dan empat pelanggan.

“Suspek mengambil masa lebih kurang 7 minit untuk melakukan samun tersebut. Kerugian yang dialami oleh pihak kedai tersebut iaitu wang tunai berjumlah Ringgit Malaysia 1000.

“Manakala tiga daripada empat pelanggan perempuan juga turut mengalami kerugian barang kemas yang dipakai mereka akibat disamun oleh suspek. Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dialami oleh kesemua mangsa,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, susulan laporan diterima pada pukul 12.40 hari yang sama, polis giat menjalankan usaha mengesan dan menangkap suspek.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua puluh tahun dan boleh dikenakan sebat jika disabitkan dengan kesalahan,” tegasnya.

Justeru, Mohd. Iqbal menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Nor Idayu Abdul Aziz di talian 019-9459062. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×