CAMERON HIGHLANDS: Pihak berkuasa perlu segera ‘buat kerja’ menguatkuasakan undang-undang bagi membanteras aktiviti penerokaan dan sewaan tanah serta pembabitan aktif warga asing yang memonopoli industri sayur-sayuran di Cameron Highlands, di sini.
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd. Nor berkata, ketika ini penduduk tempatan terpaksa bersaing hebat dengan pendatang asing untuk mencari rezeki di bumi sendiri.
Sehubungan itu, katanya, pihak berkuasa perlu segera bertindak melakukan pembersihan di bawah perundangan negeri dan negara.
“Pihak berkuasa perlu membuktikan bahawa pendatang asing khususnya warga Bangladesh dan Myanmar ini tidak ‘kebal’ di Cameron Highlands sehingga mereka mampu ‘menawan’ peluang ekonomi penduduk setempat di situ.
“Pastikan status quo tanah tinggi Cameron Highlands sebagai pengeluar utama sayur-sayuran segar negara dimiliki rakyat tempatan, bukannya bertukar tangan kepada pendatang asing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Baru-baru ini, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa, demi hawa nafsu dan mementingkan wang ringgit, segelintir individu sanggup menggadaikan integriti dan membiarkan tanah di negeri ini ‘dijajah’ terang-terangan oleh pendatang asing.
Al-Sultan Abdullah dilaporkan bertitah, sebagai contoh, tanah-tanah di Cameron Highlands misalnya, yang dipajak dan disewa kepada petani serta pengusaha tetapi kini disewakan kepada warga asing.
Ramli berkata, beliau dan rakyat di Cameron Highlands menjunjung kasih titah Al-Sultan Abdullah yang mendedahkan berlaku ketirisan serius dalam industri sayur-sayuran negeri, yang dimonopoli warga asing.
Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ajis Sitin berharap titah Sultan Pahang menjadi indikator pihak berkuasa untuk melaksanakan pemutihan tanah pertanian khususnya di Cameron Highlands supaya rakyat tempatan menikmati hasilnya. – UTUSAN










