SHAH ALAM: Piala Sultan Selangor merupakan pengiktirafan eksklusif terhadap persahabatan pasukan bola sepak Selangor dan Singapura yang perlu difahami signifkan serta rasional dalam sukan tersebut.
Idea penganjurannya dicetuskan sendiri oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dianjurkan pertama kali pada 2001 iaitu tahun sama baginda ditabal sebagai pemerintah negeri ini.
Pejabat Sultan Selangor dalam satu kenyataannya berkata, piala tersebut tidak sewajarnya dipertikaikan kerana ia bertujuan meraikan semangat persahabatan antara kedua-dua pasukan dalam sukan itu.
“Kenapa perlu ada Piala Sultan Selangor? Bagi yang mengikuti rapat kancah bola sepak negara, sejak Piala Malaysia diperkenalkan pada tahun 1921 (ketika itu dikenali sebagai Piala Malaya, kemudian Piala HMS Malaya), Selangor dan Singapura adalah antara pasukan terhebat dan kerap kali bertembung di perlawanan akhir bagi merebut piala berkenaan.
“Malah perlawanan akhir pertama Piala Malaya pada tahun 1921 menyaksikan Singapura berjaya menewaskan Selangor.
“Sejak itu, Selangor dan Singapura bertemu sebanyak 22 kali di perlawanan akhir yang ternyata membangkitkan semangat perseteruan kesukanan dalam arena bola sepak yang turut dirasai oleh penyokong kedua-dua pasukan sejak berdekad lamanya,” katanya, hari ini.
Tambahnya, dalam tempoh tersebut, Selangor menjulang 33 kejuaraan Piala Malaysia, kali terakhir pada tahun 2015. Manakala Singapura pula 22 kali.
Terdahulu wujud pertikaian terhadap penganjuran Piala Sultan Selangor selepas perlawanan itu berlangsung pada Sabtu lalu yang menyaksikan pasukan Pilihan Selangor menang 2-1 ke atas Pilihan Singapura.
Malah, pertikaian tersebut turut dikaitkan dengan hantaran dibuat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang disifatkan sebagai menyindir penganjuran piala tersebut sejak 23 tahun lalu.
Jelasnya, Piala Sultan Selangor dinanti peminat untuk menyaksikan pertembungan antara negeri ini dengan Singapura yang merupakan musuh tradisi dan digelar sebagai Malayan El Clàsico.
“Kedua-dua pasukan (adalah) musuh tradisi ini sentiasa menampilkan persaingan sihat dan saling hormat menghormati. Sehinggalah pada tahun 1994 apabila Singapura menarik diri dari Liga Malaysia.
“Diadakan setiap tahun sama ada di Stadium Shah Alam atau Stadium Nasional Singapura, kali terakhir kejohanan ini berlangsung adalah pada tahun 2019 sebelum ditangguhkan akibat pandemik Covid-19,” jelasnya.
Dalam pada itu, kenyataan sama turut menyebut penganjuran Piala Sultan Selangor menggamit nostalgia ‘permusuhan tradisi’ antara Selangor dan Singapura.
“Lagenda bola sepak Selangor seperti Datuk Zainal Abidin Hassan dan lagenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad sendiri mengakui mereka amat teruja dengan penganjuran Piala Sultan Selangor.
“Apa yang ingin ditekankan juga, simbolik persahabatan dan muhibah kesukanan yang diraikan menerusi semangat Piala Sultan Selangor dapat dimanifestasi sebagai teladan dalam membanteras gejala keganasan sukan yang masih berleluasa khususnya dalam arena bola sepak tempatan. Hentikan Keganasan Dalam Sukan Bola Sepak,” ujarnya.
Tegasnya lagi, penjelasan tersebut dapat memberi fakta tepat dan manfaat pengetahuan lebih jelas kepada masyarakat, khususnya generasi baharu yang mungkin masih belum faham atau dimomokkan dengan informasi mengelirukan tentang sejarah sebenar kewujudan Piala Sultan Selangor. – UTUSAN










