'Permudah urusan bayaran royalti'

Permudah urusan bayaran royalti – Aishah

Wan Aishah Wan Ariffin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi bersuara emas, Datuk Aishah, 59, menyarankan badan kutipan royalti mewujudkan platform dalam talian yang sistematik sebagai pemudah cara untuk mengagihkan bayaran tersebut.

Kata Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, pelaksanaan tersebut memudahkan penerima mendapatkan bayaran royalti mereka selain mengurangkan isu pengagihan yang sehingga ke hari ini terus menjadi masalah yang tidak selesai.

“Saya berani ‘angkat’ syarikat rakaman Sony Music Sdn. Bhd. yang memanfaatkan aplikasi dalam talian sebagai pemudah cara untuk mengagihkan royalti.

“Betapa sistematiknya platform tersebut sehingga membolehkan penerima mengetahui jumlah kutipan terkini, selain berpeluang membuat pengeluaran tanpa had sebelum tarikh matang pembayaran iaitu sekali setiap tiga bulan dalam setahun.

“Penerima juga kalau benar-benar terdesak dan memerlukan, dibenarkan mendapatkan bayaran pendahuluan dengan semua urusan diproses menerusi aplikasi berkenaan.

“Sistem yang mereka gunakan adalah sangat bagus. Saya sehingga kini tidak berdepan masalah untuk me­nerima bayaran royalti daripada syarikat ini. Saya amat hargai usaha mereka,” kata Aishah selepas melancarkan single Di Pinggir Kayangan, baru-baru ini.

Aishah mengulas isu penerimaan bayaran royalti yang sering diperkatakan dalam kalangan artis dan seniman di negara ini.

Sementara itu, Aishah juga berharap badan-badan berkenaan melaksanakan kaedah yang jelas tetapi mudah bagi proses pendaftaran keahlian di bawah mereka.

Kata penyanyi lagu Janji Manismu itu, langkah tersebut sedikit sebanyak membantu artis-artis yang buta internet atau teknologi untuk menjadi ahli.

“Saya sifatkan kaedah pendaftaran keahlian bagi beberapa badan kutipan royalti cukup rumit dan menyusahkan.

“Pihak berkenaan tak boleh anggap semua artis celik IT. Lebih-lebih lagi yang berstatus veteran, yang membesar dalam era manual. Mereka ini memang memerlukan bimbingan dan bantuan.

“Apabila prosesnya menjadi rumit, maka hilanglah semangat artis itu untuk mendaftar sebagai ahli badan-badan ini. Akhirnya, mereka reda bayaran royalti mereka ‘hangus’ begitu sahaja.

“Jadi saya harap bahagian itu dipermudah. Bayaran royalti inilah yang membantu artis saat mereka memerlukan atau hilang punca pendapatan. Bahkan ketika negara dilanda pandemik, bayaran royalti membantu saya untuk teruskan kehidupan waktu itu,” kongsinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN