Tindakan Terengganu lambat tolak Akta Laut Wilayah 2012 sebagai janggal, aneh - Utusan Malaysia

Tindakan Terengganu lambat tolak Akta Laut Wilayah 2012 sebagai janggal, aneh

HASBIE MUDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu berpandangan kerajaan negeri itu lambat bertindak menolak Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) sebagai janggal dan aneh.

Pengerusi Amanah Terengganu, Mohd. Hasbie Muda berkata, tindakan itu diambil
hanya selepas hampir enam tahun Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bergelar Menteri Besar Terengganu.

Menurutnya, keputusan yang lambat ini menimbulkan persoalan tentang kecaknaan, kesungguhan dan ketegasan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ahmad Samsuri dalam mempertahankan hak negeri Terengganu.

“Apa yang dilakukan selama enam tahun ini?
Sepanjang 33 bulan pentadbiran Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai oleh Pas sebelum ini.

“Kenapa Dr. (Ahmad) Samsuri dan kerajaan Terengganu tidak berbuat apa-apa untuk meminda atau memansuhkan Akta Laut Wilayah 2012, apatah lagi Menteri Undang-Undang ketika itu juga daripada Pas?” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, malam ini.

Selain itu, Mohd. Hasbie menambah, Menteri Kewangan pada ketika itu juga jelas menyebut kerajaan Terengganu tidak layak menerima royalti atau bayaran tunai hasil petroleum, sebaliknya hanya wang ihsan kerana tiada hasil petroleum didapati dan dijumpai dalam perairan negeri atau tiga batu nautika dari garis pantai wilayah.

Beliau berkata, malangnya, pimpinan kerajaan Terengganu sekadar berdiam diri
seolah-olah akur bahawa negeri Terengganu hanya berhak menerima wang ihsan bukannya royalti.

Jelasnya, kelemahan dan kelambatan pimpinan kerajaan Terengganu untuk bertindak melindungi hak dan kepentingan Negeri serta rakyatnya amat mengecewakan.

“Sekadar membuat kenyataan menolak Akta 750 tidak membawa apa-apa makna dan sia-sia sahaja.

“Persoalannya, adakah Dr. (Ahmad) Samsuri benar-benar berani menyaman terhadap Kerajaan Persekutuan dalam isu keabsahan Akta Laut Wilayah 2012? atau kenyataan tersebut hanya modal politik bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan,” katanya.

Kerajaan Terenggan mengikut jejak Kelantan dan Sabah menolak Akta Laut Wilayah 2012 yang menghadkan sempadan maritim negeri sehingga tiga batu nautika iaitu 5.5 kilometer dari kawasan pantai pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini

Usul dikemukakan Nurkhuzaini Ab Rahman (Pas-Kota Putera) diluluskan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Mohd. Nor Hamzah.

Ia kemudian disokong sebulat suara oleh semua 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu terdiri wakil rakyat Pas dan Bersatu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN