KUALA LUMPUR: Datuk Aishah Ariffin menasihatkan penyanyi baharu agar tampil dengan identiti sendiri dan tidak terikut-ikut cara nyanyian penyanyi sedia ada.
Kata Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 57, perkara itu penting dan penentu kepada kelangsungan kerjaya nyanyian mereka.
“Penyanyi dulu, sekitar tahun 80-an, kalau kita dengar lagu-lagu mereka diputarkan di corong radio, kita boleh kenal siapa pemilik suaranya. Contoh Zaiton Sameon, Datuk Francisca Peter, Ella, Ramlah Ram dan ramai lagi. Mereka semua miliki identiti sendiri.
“Namun penyanyi sekarang berkongsi banyak persamaan pada segi cara nyanyian mereka. Saya tidak kata perkara itu salah. Cuma itulah keadaan yang saya nampak.
“Itu pandangan saya. Pendapat orang lain saya tak pasti. Keadaan ini membuktikan, penyanyi yang berlainan dari segi vokal mereka akan kekal bertahan,” katanya.
Aishah berkata demikian selepas pelancaran lagu rakaman semula Di Pinggir Kayangan nyanyian asal Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini.
Bercakap tentang rakaman semula lagu popular tersebut, Juara Gegar Vaganza Musim Keempat itu berkata, lirik puitis yang ditulis sendiri oleh bintang seni itu menarik hatinya untuk mencuba menyanyi dalam versinya sendiri.
“Lagu ini saya rakam dengan susunan muzik yang sedikit berlainan agar kedengaran sedikit moden. Pada masa yang sama, lirik lagu ini yang ditulis sendiri oleh arwah, itu yang mengikat saya.
“Mesej yang disampaikan di dalamnya, terlalu bermakna. Saya tak tahulah generasi sekarang merasai atau tidak perkara yang saya rasakan mengenai lagu ini. Tapi itulah yang saya boleh katakan.
“Dan saya amat mengagumi Allahyarham Sharifah Aini. Kalau beliau bercakap pun merdunya kedengaran seperti menyanyi. Saya bangga kerana diberi peluang rakamkan lagu ini,” kongsinya. – UTUSAN










