LIPIS: Kuala Lipis dipilih sebagai lokasi perintis di Pahang yang menerapkan elemen gamifikasi inovatif bertujuan menarik minat dan penyertaan lebih ramai individu dalam bidang pekerjaan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, platform itu disediakan untuk pencari kerja mengenali pelbagai peluang kerjaya melalui elemen permainan yang mendidik dan menghiburkan.
Katanya, aktiviti gamifikasi seperti simulasi pekerjaan, cabaran kemahiran serta pertandingan interaktif bukan sahaja memperkenalkan peserta kepada dunia pekerjaan sebenar, juga membantu mereka mengasah kemahiran yang relevan dan meningkatkan keyakinan diri.
“Hari ini sesi temu duga kita ada satu kaedah baharu digunakan di mana cara pemikiran yang kita hendak ambil berkaitan kekreatifan, maknanya ia tidak bergantung kepada akademik sahaja dengan menjawab soalan tetapi kita adakan juga permainan.
“Ini adalah kaedah baharu yang diwujudkan dan kita menerima pandangan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), adakah kaedah ini bersesuaian kerana ini adalah projek rintis.
“Sekiranya tidak bersesuaian, mungkin kita tukar kepada kaedah lain tetapi kalau bersesuaian kita akan teruskan di tempat-tempat lain,” katanya dalam sidang akhbar sempena Karnival Kerjaya MYFutureJobs Kuala Lipis 2024 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis di sini, hari ini. – UTUSAN









