'Perkasa undang-undang, kempen keselamatan untuk kurangkan kemalangan motosikal'

‘Perkasa undang-undang, kempen keselamatan untuk kurangkan kemalangan motosikal’

SAIFUDDIN Nasution (kiri) bersama Razarudin Husain pada Majlis Sua Mesra Bersama Kementerian Dalam Negeri di Kepala Batas, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkasa penguatkuasaan undang-undang dan kempen kesedaran keselamatan jalan raya di peringkat akar umbi bagi mengurangkan jumlah kemalangan motosikal di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam hal ini, pihaknya akan meneliti serta melihat kembali peruntukan undang-undang sedia ada selain menambah aspek penguatkuasaan bagi meningkatkan kesedaran awam.

Beliau berkata, pada masa yang sama, KDN juga berbincang dan akan kembali semula kepada asas dengan memperhebatkan kempen kesedaran keselamatan jalan raya di peringkat sekolah, akar umbi serta komuniti.

“Berdasarkan rekod, anggaran keseluruhan nilai saman yang dikeluarkan setakat ini berjumlah RM2.18 bilion.

“Sekiranya nilai saman itu dijadikan indikator, ini membuktikan bahawa jumlah saman yang dikeluarkan memang tinggi, tetapi, pada masa yang sama, kadar kemalangan motosikal juga bertambah.

“Justeru, kempen kesedaran jalan raya perlu dipertingkat dan aspek penguatkuasaan juga akan diteruskan untuk menanam kesedaran tentang keselamatan jalan raya sekali gus mewujudkan kepatuhan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sua Mesra Bersama Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini. Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad.

Kelmarin, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan supaya kempen kesedaran mengenai keselamatan jalan raya diperluaskan susulan jumlah kemalangan yang direkodkan sepanjang tahun lalu mencecah 600,000 kes.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, penegasan itu disuarakan Perdana Menteri pada mesyuarat Jemaah Menteri susulan pertemuan beliau dengan Pengerusi ‘Alliance For A Safe Community’, Tan Sri Lee Lam Thye pada 6 Ogos lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×