Perjumpaan Majlis Presiden PH bincang kekosongan kerusi DUN Mahkota

Perjumpaan Majlis Presiden PH bincang kekosongan kerusi DUN Mahkota

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bakal mengadakan perjumpaan di Putrajaya pada pukul 4 petang ini untuk membincangkan isu berhubung kekosongan luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, selain beliau, pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut dihadiri oleh Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

“Walaupun belum jelas apakah isu ini akan dibincangkan, tetapi, saya yakin kalau perkara ini (kekosongan kerusi) boleh kita angkat dengan menggunakan saluran parti.

“Kita lakukan dengan tertib sebelum membuat satu keputusan iaitu berbincang dahulu mengenai isu terbabit.

“Daripada keputusan yang dicapai itulah, kemudian, barulah kita bincangkan di peringkat rakan-rakan gabungan,” katanya ketika diminta mengulas berhubung parti mana yang akan mewakili PH untuk menghadapi PRK DUN Mahkota nanti.

Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri ditemui ketika Majlis Sua Mesra Bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Amanah Kluang, Johor mahu parti itu diberi peluang bertanding pada PRK DUN Mahkota berikutan parti berkenaan pernah memenangi kerusi terbabit pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selain pernah bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022.

Kerusi DUN Mahkota terpaksa dikosongkan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Syarifah Azizah Syed Zain daripada UMNO.

Pada PRN Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi serta mencatatkan majoriti 5,166 undi.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri pula, Saifuddin Nasution berkata, gabungan PH dan BN kini giat menumpukan gerak kerja kempen tanpa mempedulikan dakwaan pihak lawan yang kononnya tidak mempunyai semangat setiakawan susulan ketidakhadiran DAP sepanjang kempen.

“Kita percaya dan serahkan kebijaksanaan rakyat Nenggiri untuk menilai dan buat keputusan nanti. Kita tumpukan kerja terhadap kempen dan tak perlu layan atau tersinggung dengan kata-kata pihak lawan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×