Perdana Menteri arah perluas kempen keselamatan jalan raya

Perdana Menteri arah perluas kempen keselamatan jalan raya

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kempen kesedaran mengenai keselamatan jalan raya diperluaskan susulan 600,000 kes kemalangan yang direkodkan sepanjang tahun lalu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, arahan itu dikeluarkan Perdana Menteri pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan pertemuan beliau dengan Pengerusi Alliance for a Safe Community, Tan Sri Lee Lam Thye, semalam.

Beliau berkata, pada pertemuan itu, Perdana Menteri dimaklumkan, kemalangan jalan raya paling tinggi adalah membabitkan pengguna motosikal berusia 18 hingga 35 tahun.

“Oleh itu Perdana Menteri memberi penegasan bahawa kempen kesedaran perlu dilipat ganda dan diperluaskan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Fahmi berkata, Perdana Menteri turut mengingatkan kepada ibu bapa yang mempunyai anak berusia 16 tahun ke atas supaya sentiasa berwaspada ketika menunggang atau membonceng motosikal.

Dalam perkembangan lain, Fahmi memaklumkan, potret rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah boleh didapatkan di Kementerian Komunikasi mulai esok.

“Maka bagi kementerian, jabatan berkaitan dan berdekatan, boleh mula memperoleh potret rasmi ini mulai esok di kementerian ini.

“Bagi orang ramai pula, potret ini akan disediakan melalui jabatan penerangan negeri dan pegawai penerangan daerah masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada skuad badminton negara kerana menghadiahkan dua pingat gangsa kepada negara.

Malaysia meraih dua pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi pemain badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia dan gandingan regu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN