KUALA NERUS: Seorang peniaga nasi Arab warga Yaman mengalami kerugian lebih RM150,000 selepas restorannya di Kampung Tok Jiring di sini, hangus dijilat api, malam tadi.
Kebakaran yang melibatkan sederet empat buah kedai dua tingkat itu berlaku pada pukul 10 malam.
Muhammad Abdulatef, 26, berkata, antara yang musnah adalah wang simpanannya selama enam tahun serta barang kemas milik isteri yang merupakan warga tempatan, Nur Syakirah Zainal Abidin, 21.
Menurut pemuda itu, kejadian berlaku ketika mereka serta anak berusia dua tahun keluar makan malam sebelum dia dihubungi sepupunya yang memberitahu bangunan dua tingkat itu terbakar.
Muhammad berkata, sebaik tiba di restoran, dia mendapati tiga orang pekerjanya sedang menyelamatkan barang-barang manakala beberapa pelanggan lari bertempiaran menyelamatkan diri.
“Duit simpanan yang saya kumpul sejak tiba di Malaysia pada 2018 serta barang kemas isteri yang kami simpan di dalam rumah tidak dapat diselamatkan kerana api marak terlalu cepat.
“Itu adalah hasil titik peluh saya menjalankan perniagaan di sekitar bandar raya ini sejak 2018, sebelum membuka kedai nasi Arab di sini kira-kira dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Muhammad menjelaskan, selain menjadi kediaman dia sekeluarga, tiga orang pekerja warga Yaman turut menyewa di tingkat atas bangunan tersebut menyebabkan kesemua mereka tinggal sehelai sepinggang.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran itu pada pukul 10.03 malam dan tiba sembilan minit kemudian dengan kekuatan 22 anggota.
Menurut beliau, pihaknya mengambil masa 35 minit untuk mengawal kebakaran dan api dapat dipadam sepenuhnya dalam masa dua jam sambil dibantu enam anggota bomba sukarela. – UTUSAN










