BANGKOK: Sekurang-kurangnya 27 orang maut manakala puluhan lagi cedera dalam kebakaran besar yang berlaku di sebuah bar di Bangkok lewat malam Ahad.
Ia menyebabkan pelanggan yang menjerit ketakutan bertempiaran melarikan diri ketika api marak keluar dari pintu masuk, menurut pegawai, saksi dan rakaman video yang disahkan oleh AFP.
Seorang wartawan AFP melihat beberapa beg mayat diletakkan di atas tanah di luar bar dan restoran Rong Beer Na Lat Phrao pada awal pagi Isnin, sementara puluhan anggota perkhidmatan kecemasan membanjiri lokasi kejadian.
“Kebakaran merebak dengan sangat pantas sehingga menjilat siling. Asap dipercayai menjadi punca utama kematian,” kata Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, kepada pemberita di luar premis yang terletak di pinggir ibu negara Thailand itu.
Beliau berkata, seramai 27 orang terbunuh manakala 63 lagi dimasukkan ke hospital akibat kecederaan, termasuk 22 yang berada dalam keadaan kritikal dan menambah pihak berkuasa telah melancarkan siasatan.
Menurutnya, beberapa mangsa ditemui berhampiran pintu keluar kecemasan dan pihak berkuasa percaya mungkin terdapat halangan yang menghalang laluan tersebut.
“Kami tidak mengetahui berapa ramai orang berada di dalam, tetapi jumlahnya dipercayai ramai,” tambah Chadchart.
Seorang penunggang teksi motosikal, Surin Jaiharn, 45, berkata, beliau melihat api menyambar keluar ke jalan melalui pintu bar dan membantu kira-kira lima orang melarikan diri dengan kesan melecur dan kulit yang melepuh.
“Saya berasa amat sedih. Saya melihat begitu banyak kematian dan saya tidak tahu nasib mereka yang saya bantu,” katanya kepada AFP.
Katanya, beliau menggunakan pakaian untuk memadamkan api pada tubuh mangsa, manakala seorang lagi penunggang teksi motosikal membawa seorang mangsa wanita menjauhi kawasan berbahaya.
Premis hiburan yang menampilkan persembahan muzik secara langsung itu mempunyai sebuah pentas, dua bar dan sebuah dapur dengan kapasiti melebihi 300 orang, selain dilengkapi empat pintu keluar kecemasan, menurut hantaran di laman Facebook premis tersebut yang mempromosikan persembahan muzik bulan ini.
Pelancong dari Laos, Kan Kutirat, berkata kepada AFP, beliau mendengar jeritan kuat daripada ramai orang di dalam dan keadaan menjadi huru-hara.
Polis Diraja Thailand memaklumkan menerusi media sosial sekitar pukul 2 pagi Isnin bahawa kebakaran itu telah berjaya dikawal.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, sebelum itu melawat lokasi kejadian. – AFP










