Pengurus syarikat didenda RM10,000 tipu urus niaga kambing import - Utusan Malaysia

Pengurus syarikat didenda RM10,000 tipu urus niaga kambing import

SHAHARANI Firdauz Abd Ghani denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu membabitkan pembekalan kambing import kepada JPV tiga tahun lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pengurus syarikat dijatuhi hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu membabitkan pembekalan kambing import kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), tiga tahun lalu.

Tertuduh, Shaharani Firdauz Abd Ghani, 38, juga berdepan hukuman penjara satu bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut yang juga pengurus Syarikat MMLA Agri iaitu syarikat berkaitan pertanian, penternakan dan perikanan, didakwa telah secara tidak jujur memperdayakan Pengarah JPV Perak, Ahmad Shafri Hassan.

Tertuduh dalam kes ini telah mendorong Ahmad Safri mempercayai bahawa invois MMLA Agri bertarikh 10 Disember 2021 adalah bagi tuntutan perkhidmatan membekal dan menghantar ternakan kambing tenusu, kambing pedaging dan bebiri bersertifikasi diimport untuk Projek Subsektor Ternakan Daerah Perak Tengah, Program Pembangunan Jajaran Sungai Perak Tahun 2020 sedangkan kambing yang dibekalkan adalah kambing tempatan.

Tindakan tertuduh itu mendorong Ahmad Shafri meluluskan bayaran bagi tuntutan tersebut yang mana beliau tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di JPV di Jalan Sultan Azlan Shah (U) dalam daerah Kinta di sini pada 14 Disember 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Mohd. Shafiqzan Suhaimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Shaharani Firdauz menghantar satu invois tuntutan berjumlah RM836,798 kepada JPVP bagi perkhidmatan membekal kambing ternakan kepada empat padang ragut iaitu Air Kuning, Kampung Toh Paduka Raja, Pendiat dan Kampung Baru Bota Kanan pada 14 Disember 2021 dan JPVP memasukkan wang berjumlah seperti dituntut ke dalam akaun bank syarikat tertuduh pada keesokkannya.

Namun, hasil siasatan mendapati lelaki itu membekalkan kambing dibeli daripada penternak tempatan di Manjung, Batang Kali serta Kelantan dan bukan bersertifikasi diimport. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN