KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus bistro mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah hasil perniagaan majikannya, tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Jazlie Naim Latiff, 40, didakwa telah melakukan pecah amanah terhadap harta yang telah diamanahkan iaitu wang hasil perniagaan berjumlah RM38,579.80 di sebuah bistro di Sunway Putra Mall, Dang Wangi antara 7 dan 27 Jun 2017.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Dia juga tidak mengaku bersalah pada tuduhan pilihan iaitu mencuri wang tunai majikannya membabitkan jumlah yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Hanif mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguambela, Mohd. Shamril Afzan Mohamed Hasim yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga selain tidak mempunyai pendapatan tetap.
Hakim Azrul Darus membenarkan Mohd. Jazlie diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 September ini untuk sebutan semula kes.-UTUSAN










