Penganggur hantar komunikasi jelik didenda RM10,000

Penganggur hantar komunikasi jelik didenda RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran jelik menggunakan aplikasi Facebook, tiga tahun lalu. 

Hakim Siti Aminah Ghazali membuat keputusan itu ke atas Engkiai Suwai, 48, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya. 

Mengikut pertuduhan, Engkiai didakwa membuat dan memulakan penghantaran jelik menggunakan nama profil Facebook “Engkiai Kiai” dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada 20 Mei 2021. 

Hantaran itu dibaca di Pejabat Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Standard Malaysia (PCIRC JSM), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, di dalam Daerah Wangsa Maju, pada pukul 11.24 pagi, 22 Mei 2021. 

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50, 000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 1 tahun atau kedua-dua sekali.

Lelaki itu juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan berulang.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah mencadangkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat di luar. 

“Walaupun tertuduh memohon maaf namun  perbuatan ini memberi impak kepada masyarakat dan tertuduh sedar bahawa hantaran itu menyentuh sensitiviti agama. Tertuduh gagal menjaga ketatasusila dan tidak mematuhi etika terutamanya berkenaan mana-mana agama dan wajar diberikan satu hukuman yang maksima,” kata pendakwa raya itu.

Engkiai yang tidak diwakili peguam merayu diberikan hukuman ringan atas alasan mempunyai tanggungan seramai enam orang anak dan merupakan pencari rezeki utama.

Selepas menjatuhi denda tersebut, Siti Aminah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN