Pengampunan Najib: Badan Peguam tiada hak

Pengampunan Najib: Badan Peguam tiada hak

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah memfailkan bantahan awal terhadap tindakan Badan Peguam memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman dan denda beliau.

Bantahan tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Shafee & C0. pada 6 Ogos lalu di Mahkamah Tinggi di sini.

Menurut afidavit yang difailkan oleh peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee bagi pihak Najib, keputusan Badan Peguam untuk memfailkan semakan tersebut adalah terbatal ekoran Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang membincangkan mengenai perkara tersebut tidak mempunyai kuorum mencukupi.

Jelasnya, Badan Peguam melalui Majlis Peguam Malaysia telah mengeluarkan pekeliling untuk mengadakan AGM pada 16 Mac lalu antara lainnya untuk mendapatkan kelulusan daripada ahli-ahli untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan tempoh pemenjaraan dan denda Najib.

Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Kajang selepas didapati bersalah atas tuduhan menyeleweng dana milik syarikat pelaburan negara, SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta. Beliau turut didenda RM50 juta.

Sebelum pengampunan diberikan pada 29 Januari lalu, Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Bagaimanapun, pada tarikh AGM tersebut, kehadiran ahli pada mesyuarat itu tidak memenuhi syarat minimum 500 orang sebagaimana yang diperuntukkan oleh Seksyen 64(4) Akta Profesion Undang-Undang (APUU) 1976.

“Saya benar-benar percaya bahawa pada akhirnya AGM bermula pada pukul 12.15 tengah hari dengan hanya 401 ahli yang hadir;kira-kira 1.6 peratus daripada jumlah ahli majlis peguam, adalah di bawah kuorum yang diperlukan.

“Saya benar-benar percaya bahawa pemohon (Badan Peguam) adalah terikat dengan keperluan nyata APUU. Dalam hal ini, cara pemohon dan Majlis Peguam mengendalikan AGM adalah melanggar peruntukan yang terkandung dalam Seksyen 64 APUU.

“Oleh itu, berdasarkan perkara di atas saya benar-benar percaya bahawa AGM Ke-78 Majlis Peguam Malaysia adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang yang menyebabkan keputusan untuk memfailkan saman ini ultra vires (bertentangan dengan undang-undang) dan sepatutnya dibatalkan,”kata Muhammad Farhan dalam afidavit bantahan itu.

Selain itu, bantahan oleh Najib itu menyatakan bahawa Badan Peguam tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memulakan semakan tersebut.

“Mereka tidak mempunyai sebarang kepentingan undang-undang mahupun ekuiti dalam perkara yang berkaitan dengan pengampunan responden kedua (Najib). Pengampunan responden kedua adalah perkara persendirian yang tidak mempunyai apa-apa kesan undang-undang ke atas ahli-ahli Majlis Peguam Malaysia atau masyrakat majmuk secara am dan oleh itu cabaran Pemohon juga harus dibatalkan,”kata Muhammad Farhan.

Dalam permohonan semakan kehakiman Badan Peguam, organisasi itu memohon perisytiharan bahawa keputusan Lembaga Pengampunan itu menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah, sehubungan itu ia memohon perintah certiorari terhadap lembaga terbabit untuk membatalkannya.

Selain itu, badan tersebut mahu injunksi kekal menghalang Najib selaku responden kedua atau wakilnya daripada mengemukakan sebarang permohonan untuk pengampunan, tunda hukum atau lega hukum kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu sehingga dan melainkan semua pendakwaan jenayah atau pertuduhan terhadapnya selesai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN