PETALING JAYA: Pengaktifan lift dump spoiler yang tidak disengajakan oleh kru penerbangan ketika melakukan pemeriksaan sebelum mendarat adalah punca utama nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor, tahun lalu.
Lift dump spoiler ialah peranti yang mengurangkan komponen angkat pada airfoil iaitu satu permukaan bergarisan arus yang menyebabkan udara mengalir di sekitar permukaannya dengan cara terkawal.
Dapatan itu antara yang terkandung di dalam laporan akhir siasatan kemalangan udara pesawat itu oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan, setebal 148 muka surat yang disiarkan hari ini.
Kata laporan itu, tindakan itu yang kemungkinan besar dilakukan oleh pembantu juruterbang (second-in-command) menyebabkan pesawat tersebut hilang daya angkat secara mendadak dan mengakibatkannya hilang kawalan lalu terhempas.
Selain itu, laporan itu menyebut, susunan tempat duduk kru penerbangan didapati menyimpang daripada protokol ditetapkan.
Dapatan itu menyaksikan ketua juruterbang (pilot-in-command) berada di tempat duduk sebelah kanan, manakala pembantu juruterbang di tempat duduk sebelah kiri yang bertentangan dengan manual penerbangan pesawat udara itu.
“Penyimpangan ini mungkin menyumbang kepada kru yang tidak berkesan dalam pengurusan sumber dan komunikasi,” kata laporan itu.
Dalam pada itu, laporan juga menyatakan kru penerbangan tidak mempunyai latihan dan tahap kesedaran cukup mengenai operasi sistem lift dump spoiler yang menyumbang kepada nahas itu berlaku.
“Pembantu juruterbang yang tidak biasa dengan risiko khusus yang dikaitkan dengan sistem lift dump spoiler membawa kepada pengaktifan sistem itu,” katanya.
Mengulas lanjut, terdapat komunikasi dan proses membuat keputusan tidak berkesan yang dibuktikan semasa fasa kritikal penerbangan.
“Tiada taklimat atau amaran khusus tentang operasi sistem lift dump spoiler dan keputusan menyimpang daripada protokol tempat duduk yang berakhir dengan kekurangan komunikasi dan membuat keputusan,” katanya.
Pada 15 September tahun lalu, antara penemuan dalam laporan awal nahas pesawat ringan Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina yang dikeluarkan mendapati tiada bukti ketidakupayaan atau faktor fisiologi yang menjejaskan prestasi kru penerbangan.
Laporan menyebut, kemalangan itu tidak dapat diselamatkan kerana magnitud daya nyahpecutan dan kebakaran selepas kemalangan berlaku.
Pesawat berkenaan mempunyai Sijil Kelayakan Udara yang sah dan dikekalkan dengan mematuhi peraturan, malah PIC (person in command) dilesenkan dan layak untuk penerbangan mengikut peraturan sedia ada.
Selain itu, insiden berlaku pada waktu siang dengan penglihatan yang jelas dan sesuai seperti dilaporkan dalam keadaan meteorologi atau kaji cuaca.
Pada 17 Ogos tahun lalu, negara dikejutkan dengan nahas pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina dan mengorbankan 10 individu termasuk seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu disahkan maut di samping dua juruterbang dan enam penumpang dalam kejadian yang berlaku pada pukul 2.48 petang.
Pesawat itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebelum terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam. – UTUSAN










