Penduduk mahu kilang plastik haram dikenakan tindakan tegas

Penduduk mahu kilang plastik haram dikenakan tindakan tegas

AMIR Hamzah (dua dari kanan) bersama penduduk Kampung Permatang Ara di Permatang Pauh untuk menuntut kerajaan negeri Pulau Pinang mengambil tindakan tegas terhadap sebuah kilang plastik yang didakwa beroperasi secara haram.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH : Lebih 200 penduduk Kampung Permatang Ara di sini menuntut kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap sebuah kilang plastik yang didakwa beroperasi secara haram sejak enam tahun lalu.

Salah seorang penduduk, Yeap Wei Chien, 31, berkata, beliau sekeluarga sudah lama bersabar, namun, kedudukan kilang yang yang terletak bersebelahan dengan kediamannya itu amat membimbangkan.

Dakwanya, kilang terbabit telah menyebabkan berlakunya pencemaran udara dan bunyi biarpun tidak beroperasi setiap hari.

“Sudah 24 tahun saya tinggal di sini, namun, sejak enam tahun lalu, situasi ini benar-benar semakin mengganggu kami.

“Tiada siapa mahu kilang besar didirikan di sebelah rumah mereka, malah, lokasinya juga tidak sesuai. Jadi, saya mohon kalau boleh kerajaan negeri kena campur tangan untuk hentikan terus operasi kilang ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Omar Shaari, 64, pula berkata, bunyi bising mesin kilang terbabit mengganggu ketenteraman penduduk setempat.

“Habuk cat yang berterbangan juga dikhuatiri menjejaskan kesihatan kami di sini, malah, ia turut terkena pada pakaian yang disidai. Selain itu, sisa kotoran yang dilepaskan di parit dan terus masuk ke sawah juga mencemarkan alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Amir Hamzah Abdul Hashim berkata, beliau terkilan kerana kilang terbabit seolah-olah ‘kebal’ dan masih terus beroperasi sehingga kini.

Jelasnya, beliau telah menggunakan semua saluran yang ada untuk menyatakan bantahan termasuk membangkitkan isu terbabit semasa sidang DUN yang berlangsung pada Mei lalu.

“Saya juga telah bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye, namun, sehingga kini isu ini seolah-olah tidak diendahkan.

“Suara saya seolah-olah diabaikan sedangkan emosi dan kesihatan penduduk sini terus terganggu dengan kewujudan kilang berkenaan,” katanya yang kecewa dengan sikap membisu kerajaan negeri yang membiarkan situasi tersebut berlarutan tanpa sebarang tindakan tegas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN