KOTA KINABALU: Pendedahan atau laporan yang dibuat oleh media boleh menjadi panduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memulakan siasatan kes.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy berkata, biarpun pendedahan yang dilakukan media tidak boleh dijadikan bukti namun, ia akan menjadi panduan untuk siasatan terhadap sesuatu kes dimulakan.
Beliau berkata, itu sebabnya peranan media amat penting dalam membantu SPRM, bukan hanya untuk memberi kesedaran terhadap amalan-amalan rasuah tetapi juga dalam membuka ruang kepada SPRM untuk memulakan sesuatu siasatan.
“Apabila media bongkar atau siarkan berita-berita tentang amalan rasuah, secara tidak langsung ia beri peluang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan. Kita lihat banyak kes-kes yang didedahkan oleh media berakhir dengan kejayaan.
“Itu sebabnya media menjadi rakan strategik penting kepada SPRM dalam mendedahkan salah guna kuasa di samping membantu menyebarluaskan mesej-mesej dan dasar-dasar kerajaan berhubung isu pencegahan rasuah,” katanya semasa program bual bicara dan boling SPRM bersama media Sabah, semalam.
Mengulas lanjut katanya, penempatan pegawai integriti SPRM di kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan turut menyumbang kepada siasatan sesuatu kes dimulakan.
Misalnya, siasatan terhadap sindiket pasport terbang baru-baru ini, di mana siasatan kes dimulakan dengan bantuan maklumat yang disalurkan oleh pegawai integriti yang ditempatkan di Jabatan Imigresen.
Kata beliau, penempatan pegawai integriti di kementerian dan jabatan kerajaan sangat berkesan dalam menangani gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam.
Program boling SPRM bersama media yang diadakan dua tahun berturut-turut itu disertai kira-kira 40 pengamal media Sabah. Program berkenaan secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan kerjasama antara SPRM dan media Sabah.
Dalam program bual bicara yang diadakan, ia memberi ruang kepada Karunanithy dan Presiden Persatuan Wartawan Sabah, Datuk Muguntan Vanar bertukar pandangan mengenai peranan media dalam laporan berita berkaitan isu-isu integriti dan rasuah. – UTUSAN









