Pemikiran Siddiq Fadzil harus disebar luaskan - TPM - Utusan Malaysia

Pemikiran Siddiq Fadzil harus disebar luaskan – TPM

AHMAD Zahid Hamidi (empat dari kiri) pada Seminar Fikrah Siddiq Fadzil Peringkat Kebangsaan 2024 di MRSM Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Pemikiran Allahyarham Datuk Dr. Siddiq Fadzil, agar negara membina kesatuan bangsa menerusi kerukunan hidup bersama dalam budaya damai, harus disebar luaskan di kalangan masyarakat seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sudah sampai masanya semua pihak bersama-sama mengangkat pemikiran Allahyarham ke seluruh pelusuk tanah air bukan sahaja di bandar-bandar besar malah di kawasan luar bandar.

“Keunikan negara yang berkomposisi pelbagai bangsa termasuk Melayu, Cina dan India dan bangsa-bangsa lain, tidak dapat tidak harus digerakkan dengan formula kedamaian dan kekuatan Islam yang dipaksikan kepada nilai al-Silmi (kedamaian).

“Kerana itu, beberapa tahun sebelum jatuh sakit, Allahyarham telah berjuang mengangkat satu gagasan, umat yang hidup dalam suasana yang damai walaupun berada dalam wadah yang pelbagai, iaitu pemikiran Fiqh al-Taayush al-Silmi, (Fiqh Hidup Dalam Budaya Damai),” ujarnya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil Peringkat Kebangsaan 2024 di Maktab Rendah Sains Mara Bagan Datuk di sini, hari ini.

Program bertemakan ‘Membina Kesatuan Bangsa: Kerukunan Hidup Bersama Dalam Budaya Damai Menerusi Gagasan Madani’ anjuran Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Selangor (Unisel), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), MRSM Bagan Datuk dan kerajaan Perak.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang juga anak kepada Allahyarham Siddiq yang juga anak kelahiran Bagan Datuk.

Ahmad Zahid melihat gagasan Malaysia Madani yang dipandu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah suatu ruang yang wajar diambil bagi menggunakan pemikiran dan idea-idea besar Allahyarham dalam membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang harmoni, saling hormat menghormati serta bekerjasama dengan baik dalam mencapai negara maju.

Malah, beliau masih mengingati ungkapan yang pernah dilontarkan oleh Allahyarham yang menyatakan memberikan kepercayaan kepada orang-orang bukan Islam untuk melaksanakan sesuatu tanggungjawab sesuai dengan keahliannya, bukanlah sesuatu yang tidak pernah ada di zaman Nabi Muhammad.

Jelas beliau, Allahyarham menjelaskan Rasulullah memberikan kepercayaan kepada Abdullah ibn al-Urayqit, seorang bukan Islam, sebagai pemandu arah ketika peristiwa Hijrah Rasulullah ke Madinah.

“Mengambil ibrah atau pengajaran daripada peristiwa berkenaan dan sesuai dengan perkembangan semasa politik tanah air, Allahyarham Ustaz Siddiq menyimpulkan, apa yang diperlukan orang bukan Islam tidak hanya ‘zhimmah’ atau perlindungan, sebaliknya perkongsian kuasa setimpal dengan kekuatan mereka.

“Inilah formula Kerajaan Perpaduan selama ini,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×